Bekas banduan dalang kegiatan pecah kedai diberkas

Hoong Fong (dua dari kanan) menunjukkan beberapa peralatan dipercayai hasil pecah kedai yang dirampas menerusi serbuan dan tangkapan dijalankan ke atas kesemua suspek pada 30 Mac lalu.
Hoong Fong (dua dari kanan) menunjukkan beberapa peralatan dipercayai hasil pecah kedai yang dirampas menerusi serbuan dan tangkapan dijalankan ke atas kesemua suspek pada 30 Mac lalu.
A
A
A

KLANG - Seorang lelaki tidak pernah serik melakukan jenayah samun dan pecah kedai walaupun baru tiga bulan keluar dari penjara atas kesalahan jenayah.

Suspek turut menjadi dalang kepada puluhan aktiviti jenayah berkenaan di sekitar Klang selain dikesan merekrut beberapa individu sebagai rakan sejenayahnya.

Bagaimanapun, kegiatan lelaki itu tidak bertahan lama apabila dia bersama empat lagi rakan ditahan menerusi tangkapan di sekitar kawasan Jalan Kapar, Taman Sentosa dan Taman Selatan, Klang pada 30 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, tangkapan dijalankan susulan laporan dibuat seorang pemilik kedai perkakasan yang mendakwa kedai miliknya di Jalan Kota Raja, Kampung Jawa telah disamun, pada 26 Mac lalu.

"Berdasarkan semakan kamera litar tertutup (CCTV), terdapat sekumpulan lelaki telah memecah masuk kedainya menerusi pintu sisi sekitar jam 4 hingga 4.30 pagi melibatkan kerugian RM20,000," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, di sini pada Selasa.

Katanya, siasatan lanjut membawa kepada tangkapan lima lelaki tempatan berumur antara 37 hingga 55 tahun dipercayai terlibat dalam kejadian berkenaan.

"Salah seorang suspek dipercayai baru keluar penjara sekitar Januari lalu dikesan mempunyai 55 rekod berkaitan jenayah dan dadah, selain itu empat lagi suspek masing-masing mempunyai 11 rekod jenayah dan dadah," katanya.

Hoong Fong berkata, siasatan dijalankan mendapati kesemua suspek terlibat aktiviti jenayah melibatkan pecah masuk kedai, kilang, curi kereta, curi motosikal dan samun.

Hoong Fong (dua dari kiri) menunjukkan antara kenderaan dipercayai digunakan suspek.
Hoong Fong (dua dari kiri) menunjukkan antara kenderaan dipercayai digunakan suspek.

"Dengan tertangkapnya kesemua suspek, polis berjaya menyelesaikan 14 kes melibatkan sembilan kes daerah Klang Selatan, empat kes di Klang Utara dan satu kes di Shah Alam.

"Polis turut merampas tiga kenderaan dipercayai digunakan ketika melakukan aktiviti jenayah selain pelbagai barangan dipercayai hasil kegiatan pecah kedai," katanya.

Ujar Hoong Fong, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan beberapa lagi suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan jenayah ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.