JPJ Pahang tidak kompromi masalah disiplin pegawai
KUANTAN - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang tidak akan berkompromi terhadap masalah disiplin pegawai dan anggota termasuk mereka yang terlibat dalam kes rasuah dan salah guna kuasa.
Pengarahnya, Muhammad Abdullah berkata, pihaknya komited dalam membendung salah laku itu malah sentiasa terbuka dan bersedia memberi kerjasama kepada agensi berkaitan terutama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurutnya, jika ada pegawai dan anggota terlibat, pihaknya akur dan akan mengambil tindakan mengikut peruntukan sedia ada termasuk gantung atau buang kerja.
“Sebab itu, saya selalu arahkan ketua cawangan, ketua bahagian, ketua seksyen penguat kuasa dan ketua-ketua unit di bawah JPJ Pahang supaya memainkan peranan dengan sentiasa mengingatkan anggota bawahan supaya menjaga integriti dan tidak terbabit dalam salah laku rasuah serta salah guna kuasa.
“Warga kerja JPJ Pahang sentiasa diberi peringatan termasuk dalam mesyuarat, roll call dan ceramah. Biarpun ia berkaitan perkara lain, peringatan dalam kewajipan menjaga integriti ini perlu turut disentuh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Green Day sempena Sambutan Hari JPJ Ke-73 Peringkat Negeri Pahang di perkarangan ibu pejabat JPJ Negeri di Indera Mahkota di sini, hari ini.
Muhammad berkata, usaha itu dilakukan supaya pihak pengurusan sentiasa cakna dengan 566 kakitangan JPJ seluruh Pahang supaya tidak ada dalam kalangan mereka terlibat dalam masalah disiplin dan salah laku.
“Semua warga JPJ Pahang perlu berpegang kepada moto jabatan iaitu 'Mesra, Cekap dan Telus’ dalam tugasan yang diamanahkan. Jika ada pengguna jalan langgar peraturan, perlu diambil tindakan mengikut bidang kuasa yang ada dan jangan mengambil kesempatan atas kepentingan peribadi,” katanya.
Beliau menyambut baik tema sambutan Hari JPJ Ke-73 iaitu ‘Digitalisasi Ke Arah Integriti' di mana bagi beliau langkah itu secara tidak langsung dapat meminimumkan salah laku, tadbir urus tidak baik dan sebagainya dalam kalangan pegawai dan anggota.
Mengulas mengenai sambutan Program Green Day yang diadakan, Muhammad berkata, walaupun JPJ agensi penguatkuasa, namun pihaknya tetap cakna terhadap kepentingan menjaga alam sekitar.
Katanya, melalui program itu, warga JPJ juga bertanggungjawab terhadap kepentingan menjaga alam sekitar termasuk menghijaukan persekitaran di premis dengan penanaman pokok-pokok dan menceriakannya dalam mewujudkan persekitaran kerja yang selesa dan selamat.
“Program ini merupakan kemuncak sambutan yang bermula sejak awal April lalu dengan pelbagai aktiviti dijalankan termasuk program melibatkan kebajikan dan memantapkan aspek kerja melalui kursus melibatkan Prosedur Operasi Standard dan peraturan bagi menyeragamkan proses tindakan dan penguatkuasaan.
“Pada program hari ini, diadakan acara senamrobik, larian dan gotong-royong menanam pokok dan pelbagai acara lain melibatkan warga JPJ dan pelanggan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!