Keluarga sedia bawa Jahidah ke mahkamah walaupun sukar
SEREMBAN - Meskipun tahu sukar untuk membawa Jahidah Nordin, 45, yang koma ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru untuk prosiding perbicaraan, namun keluarga bersedia berbuat demikian jika ia diperlukan.
Adiknya, Fauziah Nordin, 41, berkata, pihaknya dimaklumkan kemungkinan kakaknya perlu dibawa ke mahkamah untuk perbicaraan berhubung pertuduhan terhadap bekas suaminya yang didakwa memukulnya dua tahun lalu.
"Pihak Timbalan Pendakwa Raya telah menghubungi adik saya, Fazariah Nordin dan bertanya sekiranya kak Jahidah boleh dibawa ke mahkamah untuk perbicaraan kes dalam waktu terdekat.
"Kalau boleh memang nak bawa kak Jahidah supaya mahkamah boleh lihat apa yang terjadi kepada kakak atas kejadian berlaku dan juga demi keadilannya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Dalam pada itu, dia berkata, badan bukan kerajaan (NGO), Dana Kita telah menyatakan hasrat untuk membantu menyediakan perkhidmatan ambulans untuk membawa Jahidah ke mahkamah di Johor Bahru, Johor.
Menurutnya, ia selepas adiknya membuat hantaran di Facebook memaklumkan kebimbangan sama ada dapat membawa kakak ke mahkamah atau tidak kerana kos menaiki ambulans yang mahal.
"Pengasas Dana Kita, Mohd Fadli Salleh atau lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Fadli yang menghubungi Fazariah, berhubung bantuan tersebut.
"Alhamdulillah ada pihak sudi membantu menyediakan perkhidmatan ambulans dan jika perlu bermalam mereka juga akan uruskan semuanya," katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan bantuan perubatan Jahidah boleh menyumbang melalui akaun bank CIMB 7617797037 (Fauziah Nordin).
Sementara itu, Mohd Fadli Salleh juga ada membuat hantaran di Facebook memaklumkan yang mereka membuat keputusan membantu Jahidah walaupun mereka beroperasi di Gombak, Selangor.
"Biar pun kami jauh, kami akan hantar team (pasukan) untuk ambil dan hantar kak Jahidah sepanjang sesi mahkamah berlangsung. Kes ini kes yang menggemparkan negara suatu ketika dahulu.
"Kami sebelum ini tak mampu bantu apa-apa kerana bukan dalam bidang kuasa kami. Namun sebaik kami diperlukan, kami akan cuba bantu sebaik mungkin. Insya-Allah, kes ini Dana Kita akan cover secara percuma," tulisnya di Facebook.
Sebelum ini media melaporkan, dalam kejadian pada 4 Mei lalu, Jahidah yang menetap di Johor Bahru koma kerana kecederaan parah pada kepala dengan tengkorak terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak dipukul suaminya yang berusia 38 tahun.
Jahidah pada mulanya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan kemudian dipindahkan ke HTJ Seremban atas permintaan keluarga dan nasihat pihak hospital.
Pada 17 Jun lalu, suami mangsa, Rosmaini Abd Raof mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor atas pertuduhan memukul isterinya yang hamil sehingga koma dalam kejadian pada 4 Mei lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!