Malaysia harus tumpu perhatian kaedah urus permintaan air
KUALA LUMPUR - Malaysia mesti menumpukan perhatian kepada kaedah menguruskan permintaan air bagi menangani isu bekalan air, kata pakar air, Datuk Seri Dr Zaini Ujang.
Beliau yang juga bekas Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air berkata pengurusan permintaan air tidak pernah diamalkan di negara ini sehinggalah sejak 10 tahun kebelakangan ini.
“Kita harus melihat keseluruhan aspek, bukan sahaja dari segi bekalan, operator air, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara dan kerajaan semata-mata. Kita perlu ubah pemikiran masyarakat supaya jangan hanya melihat dari segi bekalan sahaja tapi lihat juga dari segi permintaan. Permintaan ini sangat penting dan saya fikir ini yang tidak lestari di Malaysia,” katanya dalam program Ruang Bicara di Bernama News Channel di sini malam tadi.
Zaini berkata jika permintaan air dapat dikurangkan, negara juga tidak perlu membina paip, empangan dan loji yang lebih besar.
“Sebagai contoh, jika kita boleh kurangkan permintaan sebanyak 20 peratus, bekalan air negara masih boleh bertahan selama lima tahun walaupun ada pertambahan penduduk sebanyak empat peratus,” tambahnya.
Zaini berkata sebilangan besar masyarakat menggunakan air dengan jumlah yang sangat banyak kerana beberapa sebab, antaranya faktor tabiat dan harga air yang sangat murah berbanding negara serantau seperti Indonesia, Thailand dan Filipina.
Mengenai masalah bekalan air yang sering berlaku terutama di Lembah Klang, beliau berkata isunya bukan bekalan tidak mencukupi tetapi ia disebabkan masalah loji dan paip yang sebahagiannya adalah terlalu lama dan perlu diperbaiki.
Katanya, masalah bekalan air juga disebabkan tangki simpanan tidak mencukupi untuk menampung keperluan air terawat lebih dari satu hari.
“Banyak negara sebagai contoh di Jepun, mereka boleh simpan tiga hari sedangkan reka bentuk kita hanya mampu simpan untuk lebih kurang lapan hingga 24 jam sahaja. Maknanya kalau apa-apa berlaku dalam tempoh tersebut, kita menghadapi masalah.
“Tapi di Jepun, simpanan air boleh bertahan tiga hari. Malah jika berlaku gempa bumi dan sebagainya di tempat-tempat tertentu, mereka masih mempunyai bekalan air,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!