Rugi RM47,833 ditipu sindiket jual Toyota Hilux tidak wujud

Mangsa telah berhubung dengan suspek bagi urusan membeli kenderaan jenis Toyota Hilux Black Rally Edition. - Gambar hiasan
Mangsa telah berhubung dengan suspek bagi urusan membeli kenderaan jenis Toyota Hilux Black Rally Edition. - Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Hasrat seorang pemilik bengkel untuk memiliki sebuah kenderaan pacuan empat roda, Toyota Hilux tidak kesampaian apabila ditipu RM47,833 dalam pembelian kereta import tidak wujud pada Februari lalu.

Mangsa berusia 57 tahun yang menetap di Jerantut itu dikatakan melihat satu iklan penjualan kenderaan import di laman sosial Facebook.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosup berkata, mangsa telah berhubung dengan suspek bagi urusan membeli kenderaan jenis Toyota Hilux Black Rally Edition.

"Suspek kemudian menawarkan harga RM36,000 dan dibayar secara ansuran, jika mangsa berminat untuk membeli kenderaan itu.

"Mangsa seterusnya membuat bayaran deposit dan cukai Kastam sehingga lima kali transaksi ke tiga akaun bank berbeza dalam tempoh satu bulan menggunakan wang simpanannya," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sementara itu, beliau turut menasihatkan orang ramai agar jangan mudah terpedaya dengan tawaran murah.

"Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi," katanya.