Pengampunan Diraja Najib: Amanah serah kepada budi bicara Agong

Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup ditemui pada penyampaian Bakul Rahmah kepada 50 penghantar dan pemandu Grab di Axis Business Centre di sini pada Selasa.
Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup ditemui pada penyampaian Bakul Rahmah kepada 50 penghantar dan pemandu Grab di Axis Business Centre di sini pada Selasa.
A
A
A

PETALING JAYA - Parti Amanah Negara (Amanah) tidak campur tangan urusan permohonan pengampunan Diraja untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, perkara tersebut di luar bidang kuasa parti politik dan menyerahkan sepenuhnya kepada budi bicara dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ujar beliau, terdapat dua bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong yang rakyat tidak boleh campur tangan iaitu berkaitan pengampunan dan penganugerahan darjah kebesaran.

"Dari segi pengampunan, walaupun ada majlisnya (Lembaga Pengampunan) atau korumnya, tetapi kata putus adalah hak baginda.

"Kedua mengenai penganugerahan darjah kebesaran. Kedua-dua perkara tersebut hak mutlak Yang di-Pertuan Agong.

"Apa juga keputusan terhadap Datuk Seri Najib, kita serahkan kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong," katanya ketika ditemui pada penyampaian Bakul Rahmah kepada 50 penghantar dan pemandu Grab di Axis Business Centre,di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendirian Amanah berhubung isu permohonan pengampunan Diraja Najib.

Ia susulan Ahli Parlimen Pasir Gudang (PKR), Hassan Abdul Karim yang memberi peringatan bahawa isu pengampunan ke atas Najib boleh meruntuhkan gabungan dalam Pakatan Harapan.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menjelaskan isu berkenaan bukan pendirian kerajaan dan tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet sebaliknya pendirian UMNO sebagai sebuah parti politik

Sebelum ini media melaporkan, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memohon ihsan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mempertimbangkan pengampunan penuh kepada bekas Presiden parti itu sebagaimana kuasa yang diperuntukkan mengikut Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!