Bekalan telur kini melimpah - JPV

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Bekalan telur dalam negara adalah mencukupi berdasarkan data unjuran Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

JPV dalam satu kenyataan memaklumkan, terdapat lebihan bekalan pada Mac iaitu sebanyak 250.8 juta biji telur sekali gus limpahan bekalan berlaku pada April.

"Pihak kerajaan melalui JPV telah mengambil beberapa langkah dalam memastikan bekalan telur tempatan kekal stabil antaranya sesi libat urus melibatkan Persekutuan Persatuan Penternak-Penternak Malaysia (FLFAM).

"Libat urus ini diadakan pada 23 Mac lalu dan pengeluar telah meningkatkan pengeluaran mengikut permintaan sebelum dan semasa musim perayaan serta memberi jaminan pengeluaran telur tempatan mencukupi," katanya pada Selasa.

Pada 6 April lalu, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mengkritik kerajaan kerana masih tidak dapat menyelesaikan isu kekurangan bekalan telur ayam dalam negara.

Dalam pada itu, agensi itu dalam kenyataan sama menjelaskan faktor yang menyebabkan kekurangan bekalan telur di lokaliti tertentu adalah disebabkan oleh faktor kos logistik yang meningkat.

Menurutnya, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui FAMA telah mengambil inisiatif dalam penganjuran Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) bagi membantu pengedaran bekalan di lokaliti yang memerlukan.

Selain itu, jelasnya, KPKM turut menawarkan pinjaman mudah melalui Agrobank sebanyak RM300 juta kepada penternak ayam melalui Dana Pembiayaan Agromakanan untuk membantu penternak mengatasi masalah modal pusingan kewangan terjejas akibat kenaikan kos pengeluaran.

"Bagi membantu penternak dalam menghadapi cabaran-cabaran semasa dalam sektor penternakan, kerajaan pada 17 Februari lalu memutuskan untuk meneruskan subsidi ayam dan telur sehingga Jun 2023 melibatkan kos sebanyak RM1.28 bilion.

"Pemberian subsidi ini diharap dapat meringankan beban penternak, ekoran dari peningkatan kos penternakan," katanya.

Kenyataan itu menambah dalam memastikan bekalan telur tempatan tidak terputus, kerajaan juga mengambil langkah membawa masuk telur dari negara luar, yang sememangnya adalah bersifat sementara bagi menampung permintaan tempatan sehingga bekalan di pasaran kembali stabil.

"Kerajaan amat prihatin terhadap keperluan rakyat, termasuklah penternak dan sentiasa komited mengambil langkah proaktif bagi memastikan kebajikan rakyat terus terjamin," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!