MATTA Fair diiktiraf sebagai Pameran Pelancongan Antarabangsa Terbesar

Situasi pengunjung di MATTA Fair pada Mac 2023
Situasi pengunjung di MATTA Fair pada Mac 2023
A
A
A

PAMERAN Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) yang diadakan pada 17 hingga 19 Mac lalu telah diiktiraf secara rasmi oleh Malaysia Book of Records sebagai Pameran Pelancongan Antarabangsa Terbesar.

Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang berkata, pameran di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) itu merangkumi kawasan seluas 39,000 meter persegi ruang pameran telah menempatkan sebanyak 1,416 gerai.

Menurut beliau, terdapat 19 Pertubuhan Pelancongan Kebangsaan (NTO), 13 Pertubuhan Pelancongan Negeri (STO), dan lebih 220 peserta yang terlibat.

Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang
Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang

Tambahnya, sepanjang tempoh ia berlangsung selama tiga hari, MATTA Fair telah menerima lebih daripada 180,000 pengunjung.

“Kewujudan pelbagai destinasi baharu dan akan datang seperti Arab Saudi, Dubai, Uganda, Kyrgyzstan dan Zimbabwe telah meningkatkan kerelevanan Malaysia sebagai pasaran pelancongan yang penting,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Tambah Kok Liang, jumlah perolehan jualan di pameran tersebut adalah melebihi RM300 juta dengan jualan domestik sahaja mencecah RM 34 juta.

Menurutnya, perbelanjaan purata bagi setiap agensi pelancongan adalah meningkat dan ia menunjukkan bahawa masih terdapat banyak permintaan selain pelanggan kekal yakin dalam perbelanjaan mereka walaupun dalam kegawatan ekonomi global.

“Kami amat gembira kerana edisi ke-52 ini merupakan yang pertama kami di MITEC dan telah melepasi rekod sebelum ini dari segi kapasiti, kehadiran pelawat dan jualan.

“Kami melakukan ini dengan keluar di luar zon selesa kami untuk mengambil tempat yang lebih besar dan mengatasi pelbagai halangan untuk memenuhi kehendak pempamer dan pelawat,” jelasnya.

Beliau berkata, MATTA Fair yang seterusnya akan diadakan di tempat yang sama bermula dari 1 hingga 3 September 2023.

Tambahnya, ia dijangka akan dipertingkatkan dengan lebih besar oleh kerana pasaran China yang kembali kukuh dan telah menyambung semula lebih banyak penerbangan terus ke Malaysia.

Menurut Kok Liang, pihaknya sedang bekerjasama dengan agensi kerajaan yang berkaitan bagi mengurangkan isu kesesakan lalu lintas utama bagi pameran yang berlangsung pada September depan.

“Kami memohon maaf atas kesesakan lalu lintas utama yang berlaku sepanjang pameran tiga hari. Ramai daripada mereka terpaksa menunggu berjam-jam untuk masuk atau keluar tempat.

“Untuk itu kami telah mengadakan mesyuarat dengan rakan kongsi tempat kami iaitu MITEC untuk mengenal pasti langkah penyelesaian termasuk kawalan lalu lintas yang lebih baik dan lorong yang ditetapkan khas untuk pengangkutan awam,” ujarnya.

Beliau turut menasihati agar pengunjung dan pempamer untuk menaiki pengangkutan awam atau meletakkan kereta di Sunway Putra Mall dan/atau KL Sentral seterusnya memanfaatkan perkhidmatan bas ulang-alik percuma yang disediakan.

Dalam masa sama, beliau berkata, MATTA Fair memberi peluang kepada pengunjung untuk membeli secara terus daripada agensi pelancongan berlesen dan pengendali pelancongan.

“Ini juga merupakan petunjuk bahawa perniagaan agensi pelancongan dan pengendali pelancongan bukan sahaja mampan tetapi sangat relevan dalam zaman moden hari ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!