China, India 'dikecualikan' daripada kelembapan global - Bank Dunia
WASHINGTON - China dan India 'dikecualikan daripada kelembapan' yang dijangka dialami ekonomi global tahun ini, kata Presiden Kumpulan Bank Dunia, David Malpass.
Malpass membuat kenyataan itu menjelang minggu Pertemuan Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia, menurut kenyataan media yang disiarkan di laman sesawang worldbank.org pada Isnin.
"Pertumbuhan global dijangka lemah tahun ini, perlahan kepada dua peratus berbanding 3.1 peratus pada 2022.
"Bagi Amerika Syarikat, kami menjangkakan kelembapan sekitar 1.2 peratus berbanding 2.1 peratus pada 2022.
"Beberapa faktor mempengaruhi tinjauan separuh kedua: Harga minyak telah melonjak semula melebihi AS$80 dolar setong.
"Tekanan sektor perbankan baru-baru ini melembapkan aktiviti ekonomi. Inflasi teras AS bulan ke bulan telah meningkat sepanjang lima bulan lepas," katanya.
Sementara itu, pertumbuhan KDNK China melonjak semula kepada lebih lima peratus pada 2023, dengan pelaburan swasta yang kukuh, kata Malpass.
"Saya menyaksikan kestabilan mata wang China dan dasar kitaran balas monetarinya.
"India pula terus menjadi satu daripada ekonomi utama yang berkembang pesat di dunia.
"Kami sedang menyaksikan pertumbuhan 6.3 peratus dalam FY23/24 mereka.
"Saya turut menganjurkan pelbagai dasar baharu yang akan merangsang pengeluaran untuk memerangi inflasi dan kelemahan mata wang, tetapi kemungkinan ia mengambil masa yang panjang," kata ketua Bank Dunia itu. - Bernama- Xinhua
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!