Kuwait News perkenal penyampai berita maya pertama

Fedha muncul menerusi akaun Twitter laman web Kuwait News pada Sabtu. - Foto: Agensi
Fedha muncul menerusi akaun Twitter laman web Kuwait News pada Sabtu. - Foto: Agensi
A
A
A

KUWAIT CITY - Sebuah rangkaian media di Kuwait memperkenalkan penyampai berita maya yang dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin berkembang di seluruh dunia.

Fedha yang menampilkan imej wanita muncul menerusi akaun Twitter laman web Kuwait News pada Sabtu.

"Saya Fedha, penyampai berita pertama di Kuwait menggunakan teknologi AI. Apakah jenis berita yang anda suka? Mari dengar pendapat anda," katanya dalam bahasa Arab klasik.

Timbalan Ketua Editor, Abdullah Boftain berkata, langkah itu bertujuan untuk menguji potensi AI selain menawarkan kandungan yang baharu dan inovatif.

"Fedha adalah nama Kuwait yang lama merujuk kepada logam perak. Kami sentiasa membayangkan imej robot berwarna perak dan logam. Oleh itu, kami menggabungkan kedua-duanya.

"Pada masa akan datang, Fedha boleh bertutur dalam loghat Kuwait dan menyampaikan buletin berita di akaun Twitter kami yang mempunyai kira-kira 1.2 juta pengikut," jelasnya.

Imej Fedha yang berambut perang mencerminkan kepelbagaian penduduk dan ekspatriat di negara kaya sumber minyak itu.

Difahamkan, rakaman pengenalan berdurasi 13 saat itu turut menerima pelbagai reaksi pengguna media sosial. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!