'Biarlah kami jumpa jasadnya...'

Mohd Said (kiri) dan isterinya menunjukkan gambar Mohd Danish.
Mohd Said (kiri) dan isterinya menunjukkan gambar Mohd Danish.
A
A
A

SIMPANG RENGGAM - Suasana pilu dapat dirasai di sekitar Sungai Kampung Sahari, di sini hari ini ketika operasi mencari seorang lagi mangsa lemas yang masih belum ditemui sejak kejadian petang semalam.

Bapa mangsa Mohd Said Abdul Wahab, 56, berkata, dia dan isterinya, Rozita Mohd Yusof, 49, terus berharap anak mereka Mohd Danish Mirzan, 16, dapat ditemui semula dalam apa jua keadaan.

"Kali terakhir saya dapat bercakap dengannya petang semalam dan dia (Danish) beritahu saya dia hendak tumpang salah seorang kawannya balik ke rumah kami di Kluang dan biasanya kalau saya tak sempat ambil, memang dia tumpang rakannya.

"Bagaimanapun, saya cakap tak perlu tumpang kerana saya dan isteri kebetulan dalam perjalanan pulang dari Johor Bahru dan kami akan singgah ke sekolahnya di Simpang Renggam untuk bawa dia balik," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Menurutnya, dia hanya mengetahui kejadian yang menimpa anak ketiga dari empat beradik itu selepas dihubungi oleh pihak Sekolah Islam As Syiddiq selepas selesai menunaikan solat Maghrib di surau Kampung Sahari, di sini, iaitu kira-kira empat kilometer dari sekolah berkenaan.

 Ibu Mohd Danish Mirzan, Rozita (kiri) sedang membaca Yassin di lokasi anaknya dikhuatiri lemas.
Ibu Mohd Danish Mirzan, Rozita (kiri) sedang membaca Yassin di lokasi anaknya dikhuatiri lemas.

Katanya, dia dan isterinya kemudian terus bergegas ke sekolah tersebut sebelum dibawa ke lokasi kejadian oleh pihak sekolah untuk mendengar taklimat operasi mencari dan menyelamat (SAR) oleh anggota bomba.

"Saya mohon doa semua agar anak saya dapat dijumpai dan jika dia tidak bernyawa lagi, biarlah kami jumpa jasad dia kerana sudah lebih 12 jam dia hilang dan sebagai orang Islam, kami terima takdir ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, anaknya itu mula bersekolah di sekolah berkenaan sejak tingkatan satu lagi dan dia sekeluarga tidak akan menyalahkan pengurusan sekolah terhadap tragedi yang berlaku selain dia dan ahli keluarganya turut berikhtiar melakukan solat hajat dan bacaan Yassin bagi mempermudahkan urusan pencarian anaknya itu.

Sementara itu, salah seorang guru mangsa di Sekolah Islam As Syiddiq, Supini Sardan berkata, pihak sekolah turut melakukan solat Hajat dan bacaan Yassin.

"Semalam pihak sekolah sudah memaklumkan kepada semua ibu bapa pelajar melalui aplikasi WhatsApp untuk ambil semua anak mereka kerana kawasan ini mengalami masalah gangguan air dan dakwaan pihak sekolah benarkan mandi di sungai juga tidak berasas.

"Mereka keluar ke sungai tersebut tanpa pengetahuan kami dan sebenarnya, beberapa minggu lalu para pelajar yang menyertai Kadet Bomba melakukan aktiviti di sungai berkenaan dan ketika itu paras air cuma di paras lutut sahaja," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!