Wanita OKU maut rumah terbakar
BUKIT MERTAJAM - Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) maut dipercayai lemas akibat terhidu asap tebal dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah di Kampung Alma di sini pada jam 5 petang, Selasa.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Mertajam, Penolong Penguasa Bomba Mohd Fazlee Mohamad berkata, mangsa, Nuraida Hashim,43, ditemui tidak sedarkan diri di atas katil dalam sebuah bilik.
Beliau berkata, bagaimanapun mangsa yang menghadapi kecacatan mental disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.
"Mangsa yang menghadapi kecacatan mental itu berjaya dibawa keluar ke tempat selamat.
"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan selepas pemeriksaan dijalankan.
"Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Tambah beliau, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.08 petang dan tiba di lokasi 12 minit kemudian.
Katanya, kebakaran melibatkan sebuah rumah (kelas B) dengan anggaran keluasan 90X30 kaki persegi. Anggaran peratusan kemusnahan kebakaran adalah 40 peratus.
"Kebakaran dapat dikawal pada jam 5.31 petang dan api berjaya dipadamkan pada jam 6.26 petang.
"Kita membuat 'size up' memakai pakaian peralatan pelindung diri (PPE) lengkap ketika melakukan kerja-kerja pemadaman dan pengawalan api.
"Kerja-kerja 'overhaul' dijalankan dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.48 malam. Kes diserahkan kepada Bahagian Penyiasatan Kebakaran (FIO) untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Tambahnya, kerja pemadaman turut dibantu anggota dan pegawai BBP Bandar Perda dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kota Permai, Cross Street dan Juru.
"Kami turut mendapat bantuan daripada agensi lain iaitu Tenaga Nasional Berhad, polis dan Kementerian Kesihatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!