KPDN cadang wujud direktori peniaga Menu Rahmah
SEREMBAN - Terdapat 901 peniaga Bazar Ramadan Rahmah (BRR) telah berdaftar dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bagi melaksanakan inisiatif Menu Rahmah setakat ini, kata Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Salahuddin berkata, susulan sambutan mengalakkan itu kementerian bercadang untuk membangunkan pangkalan data yang lebih komprehensif bagi memperluaskan Menu Rahmah untuk dipasarkan di pasar malam dan pasar harian.
"Kita menjangkakan dengan sistem pendaftaran yang lebih efisyen, promosi dapat dipergiatkan, saya jangkakan pada tahun depan jumlah peniaga akan meningkat sekali ganda lagi.
"Kementerian akan pastikan bahawa peniaga ini dapat meneruskan aktiviti mereka dan saya yakin ia dapat dilakukan di Bazar Ramadan, pasar malam atau pasar harian,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan mesra dan melancarkan BRR dan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (REDI) Peringkat Negeri Sembilan di BRR Bandar Prima, Senawang, di sini pada Selasa.
Salahuddin berkata, menerusi usaha itu kementerian akan mengadakan libat urus dengan peniaga terlibat dan peniaga akan diberikan kursus jangka pendek untuk membantu meningkatkan jualan mereka serta berbincang mengenai bantuan yang dapat disalurkan kepada peniaga.
Dalam pada itu, Salahuddin berkata, pihaknya turut menerima keluhan daripada beberapa peniaga yang mengalami masalah penjualan makanan Menu Rahmah ini namun pada skala yang kecil.
"Saya ada mendengar keluhan itu, kita hantar pegawai berjumpa dan temu bual mereka, boleh dikatakan yang mengadu itu kes terpencil kerana melalui pemerhatian kita, mungkin lokasi penyediaan menu belum dikenali dan perkara itu diambil perhatian supaya dapat pergiatkan promosi menu tersebut,” katanya.
Terdahulu, Salahuddin turut menyampaikan sumbangan Bakul Rahmah iaitu sepersalinan pakaian kepada 50 anak yatim dan asnaf serta menyampaikan sumbangan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kepada 10 asnaf dari Taman Satria Senawang. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!