Lebih 18 tan makanan dikumpul di bazar Ramadan

Fuziah (tiga dari kiri) melancarkan Bazar Ramadan Rahmah di Taman Cempaka, Ipoh pada Selasa.
Fuziah (tiga dari kiri) melancarkan Bazar Ramadan Rahmah di Taman Cempaka, Ipoh pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Sebanyak 18.37 tan metrik makanan dan minuman di tapak bazar Ramadan berjaya diselamatkan dan diagihkan menerusi kempen MySaveFood Ramadan 2023 di seluruh negara.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, lebihan makanan dan minuman yang tidak terjual itu direkodkan sejak hari pertama Ramadan.

Menurut beliau, inisiatif bersama 1,163 sukarelawan Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia (GEMA) itu berperanan mengumpul lebihan makanan untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan.

"Kita mula gunakan inisiatif ini bersama Pemuda GEMA, hari pertama Ramadan sehingga hari ini telah menyelamatkan lebih 18,376.7 kilogram makanan dan minuman yang diselamatkan dan diberikan kepada mereka yang memerlukan.

"Kita tidak berikan kepada masjid atau rumah anak-anak yatim selalu ada lambakan, mereka berperanan mencari insan yang memerlukan. Berdasarkan data SWCorp 15 peratus lebihan makanan dibazirkan di bulan Ramadan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Bazar Ramadan Rahmah di Taman Cempaka di sini pada Selasa.

Fuziah berkata, KPDN turut bekerjasama dengan dua hotel dan berjaya membungkuskan hampir 800 makanan.

Fuziah mengedar bubuk lambuk kepada pengunjung di Bazar Ramadan Rahmah di Taman Cempaka, Ipoh.
Fuziah mengedar bubuk lambuk kepada pengunjung di Bazar Ramadan Rahmah di Taman Cempaka, Ipoh.

"KPDN ada usaha menyelamatkan makanan di hotel sepanjang Ramadan dan saya mendapat maklumat dua hotel telah bekerjasama dan kita dapat bungkus 800 pek makanan.

"Makanan ini diedarkan kepada pelajar. Menerusi kempen ini, masalah pembaziran makanan dan orang yang memerlukan makanan berjaya diselesaikan," katanya.

Tambah beliau, di Perak sebanyak 489.7 kilogram lebihan makanan dan minuman direkodkan di dua bazar Ramadan iaitu di Bazar Medan Gopeng dan Bazar Rahmah Taman Cempaka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!