Jawatankuasa masjid, surau diminta pantau kod QR sumbangan

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) menyeru semua ahli jawatankuasa masjid dan surau agar sentiasa memantau kod QR pada kotak derma di kawasan seliaan masing-masing supaya sumbangan atau infaq yang diberikan orang ramai tidak terlepas kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.

Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd Yusoff, dalam kenyataan pada Selasa berkata, orang ramai juga disaran membuat semakan dengan teliti sebelum menyumbang melalui kod QR bagi mengelak perkara yang tidak diingini.

"Sekiranya merasa curiga dan ragu-ragu dengan kod QR di masjid atau surau, orang ramai disaran membuat aduan kepada pihak masjid atau surau untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurutnya, pihaknya mengambil maklum video tular yang memaparkan seorang lelaki yang didakwa menyalahgunakan kod QR sumbangan derma masjid atau surau dalam kejadian dipercayai berlaku di Indonesia.

Tular di media sosial klip video yang dipercayai berlaku di negara jiran memaparkan seorang lelaki yang menggantikan kod QR kotak derma masjid dengan kod QR untuk ke akaun bank peribadi miliknya.

Media melaporkan, polis Indonesia menahan lelaki tersebut dan merampas 50 pelekat kod bar QR palsu untuk menyeleweng dana daripada orang awam di beberapa masjid di Jakarta Selatan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!