Kemungkinan anak bulan Syawal kelihatan pada Jumaat tipis - Mufti Kedah
POKOK SENA - Umat Islam dinasihatkan agar tidak berbalah dan mempercayai khabar angin tentang spekulasi tarikh Hari Raya Aidilfitri pada 1 Syawal nanti termasuk menyebarkan khabar yang belum sahih tersebut, selain menjadikan pihak tertentu sebagai sumber maklumat.
Demikian peringatan dan nasihat daripada Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang yang memaklumkan seluruh Malaysia mempunyai 29 stesen cerapan untuk melihat anak bulan yang akan menentukan perkara ini.
“Berdasarkan perbincangan dengan semua sahabat-sahabat kita yang terlibat bahawa pada malam Jumaat (tarikh lihat anak bulan) itu kemungkinan untuk dapat lihat anak bulan sangat tipis dan tidak mencukupi kriteria-kriteria yang diputuskan.
“Jangan berbalah atau sebar tentang spekulasi 1 Syawal sehingga merujuk kepada Pusat Astronomi Antarabangsa bahawa 1 Syawal akan jatuh pada hari Jumaat.
“Walau apa pun keputusannya akan diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja pada malam itu setelah menerima laporan hasil cerapan," katanya.
Beliau mengulas tentang pengumuman Pusat Astronomi Antarabangsa yang berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE), yang menjangka 1 Syawal jatuh pada Jumaat, 21 April.
Syeikh Fadzil berkata, umat Islam seharusnya fokus beramal ibadat ketika ini terutama apabila memasuki 10 malam terakhir untuk mengejar Lailatul Qadar.
“Carilah Lailatul Qadar pada 10 malam terakhir Ramadan. Malah baginda mempersingkatkan tempoh itu pada malam-malam ganjil iaitu pada malam 21, 23, 25, 27 dan 29.
“Apabila datang masa yang disifatkan kemuncak Ramadan itu, kita sepatutnya melipatgandakan amal ibadat kita namun tiba-tiba kita lalai dan semakin menjauhkan diri daripada masjid.
“Mungkin kerana sibuk dengan persiapan hari raya atau sudah keletihan? Namun kita perlu meniru amalan Nabi Muhammad SAW yang melipatgandakan amalan sepanjang tempoh tersebut,” katanya pada Majlis Perasmian Infaq Ayam Segar kepada Fakir dan Miskin di Pejabat Zakat Daerah Pokok Sena, di sini pada Selasa.
Seramai 3,333 keluarga asnaf, fakir dan miskin di lima daerah iaitu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Kuala Muda dan Yan menerima agihan infaq ayam segar bermula hari ini.
Sebanyak RM99,000 diperuntukkan untuk program itu dengan masing-masing menerima dua ekor ayam segar bersaiz anggaran 1.5 hingga 1.7 kilogram. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!