Terserah kepada keputusan PH Pusat
JOHOR BAHRU - Dakwaan isu pertelingkahan Tun Dr Mahathir Mohamad bersama pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) Pusat berhubung rombakan Ahli Mesyuarat Kerajaan Johor, baru-baru ini terus meninggalkan tanda tanya.
Exco Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Liow Cai Tung berkata, pihaknya tidak mahu memberikan sebarang komen sehingga dakwaan tersebut dibuktikan.
Malah, beliau berkata, sebarang keputusan dan penyelesaian berhubung perkara itu diserahkan sepenuhnya kepada pimpinan PH Pusat.
"Saya tiada apa yang nak komen, semuanya diserahkan kepada pimpinan PH Pusat," katanya pada pemberita semasa hadir menyempurnakan Cabaran Johor Offroad Charity Tropicana Danga Cove, di sini, hari ini.
Terdahulu, barisan Exco kerajaan Johor dilantik semula selepas bekas Menteri Besar, Datuk Osman Sapian meletakkan jawatannya dan diganti Datuk Dr Sahruddin Jamal.
Lantikan 10 Exco kerajaan negeri itu menyaksikan perubahan dengan menampilkan tiga muka baharu daripada parti Bersatu menggantikan Mazlan Bujang (ADUN Puteri Wangsa) dan Tan Hong Pin (ADUN Skudai).
Salah seorang Exco digugurkan, Mazlan kemudiannya memberitahu, punca utama dirinya digugurkan adalah kerana tidak berada dalam kumpulan disenangi Pengerusi PH Johor merangkap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perkara itu sekali gus mencetuskan dakwaan berlakunya kemelut dalaman dalam pimpinan PH apabila Tun Dr Mahathir pada mulanya mengarahkan tiada sebarang rombakan perlu dibuat tetapi tidak dipatuhi Muhyiddin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!