Bolehkah pujuk wanita terluka hati dengan duit
MERAK Jalanan suka mendengar nasihat daripada orang lama yang terlebih dulu makan garam dalam hidup berumah tangga.
Banyak juga nasihat yang boleh dijadikan panduan dan ada juga tip-tip yang boleh diamalkan supaya kehidupan sebagai suami isteri kekal selagi hayat dikandung badan.
Antara yang paling Merak Jalanan ingat ialah sebagai suami walaupun kita menjadi ketua keluarga, isteri adalah yang terpaling betul dalam rumah.
Tatkala mereka menyinga tak puas hati akan sesuatu isu, tak perlulah kita sama naik menyemarakkan api kemarahan masing-masing.
Jika isteri berleter perkara remeh-temeh, anggaplah leteran itu seperti mencurah air ke daun keladi.
Angguk saja apa yang diperkatakan mereka sambil membuat muka penuh kasihan.
Ini bukan bermakna kita takut bini, tetapi strategi untuk mengelakkan musibah lebih dahsyat jika kedua-duanya saling bertekak dan bercakaran.
Amalkan tolak ansur pada tahap yang paling tinggi kerana tanpa kita sedari sikap mengalah itu telah banyak dilakukan isteri.
Antara pesanan lain ialah usah menunjukkan kemesraan suami isteri kepada umum seolah-olah kita adalah pasangan paling romantik di muka bumi.
Tidak perlu mencipta lagu atau ayat-ayat puitis untuk isteri tercinta dan ditempelkan di media sosial sehingga dapat ditatap manusia seantero dunia.
Cukuplah kemesraan itu diketahui oleh ALLAH, suami, isteri dan anak-anak sahaja.
Pesanan paling mustahak diingati Merak Jalanan ialah jangan sesekali memasang niat, cubaan secara tanpa sedar atau bunga-bunga untuk berlaku curang.
Ini kerana kata orang lama yang memberi nasihat itu, sekali hati wanita terluka, jangankan tawaran wang ringgit atau kereta mewah, segunung duit pun tidak mampu untuk mengubati hati mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!