Tiga remaja maut motosikal rempuh belakang treler

Orang ramai membantu mengawal lalu lintas jalan raya selepas kemalangan tersebut berlaku di jalan Tanjung Musang, Alor Setar pada malam Selasa. - Foto: Media sosial
Orang ramai membantu mengawal lalu lintas jalan raya selepas kemalangan tersebut berlaku di jalan Tanjung Musang, Alor Setar pada malam Selasa. - Foto: Media sosial
A
A
A

ALOR SETAR - Tiga remaja maut manakala seorang lagi parah selepas empat buah motosikal yang ditunggang mereka merempuh belakang sebuah treler di Jalan Tanjung Musang dekat sini pada malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kemalangan pada jam 10.50 malam itu dipercayai berlaku selepas lori treler tersebut bergerak keluar dari simpang sebuah stesen minyak di kawasan berkenaan.

Menurutnya, semasa lori treler itu sedang bergerak terus ke lorong kiri tiba-tiba motosikal yang ditunggang empat remaja itu telah melanggar bahagian belakang kenderaan berkenaan.

"Akibat pelanggaran tersebut tiga penunggang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Seorang lagi penunggang yang mengalami kecederaan di bahagian muka dan tangan telah dibawa dan dirawat di Zon Kuning Hospital Sultanah Bahiyah," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ahmad Shukri berkata, siasatan awal mendapati punca kematian tiga remaja terbabit adalah disebabkan oleh kecederaan parah di kepala dan badan.

Menurutnya, ketiga-tiga mayat telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah untuk tujuan bedah siasat.

"Polis masih menjalankan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!