Jari kelingking Shahronizam terputus ketika potong ayam
KUALA LUMPUR: Pelakon Shahronizam Noor, 51, berdepan saat-saat yang mendebarkan apabila kehilangan jari kelingking selepas pisau terlepas daripada pegangannya ketika memotong ayam di rumahnya pada Isnin malam.
Sehubungan itu, suami kepada penyanyi Safura Yaacob itu dikejarkan ke Hospital Ampang selepas jari kelingkingnya terkulai dan putus, lapor portal Berita Harian.
Menurut anak tiri pelakon berkenaan, Daniel Hairi, kejadian itu berlaku selepas mereka sekeluarga berbuka puasa di rumah.
"Abah mahu memotong ayam untuk diberikan kepada kucing peliharaan.
"Malangnya, pisau yang dipegang tersasar lalu terkena jari kelingkingnya ketika sedang memotong ayam.
"Melihat jari kelingking terkulai dan putus, kami segera membawa abah ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan selepas melihat kecederaannya teruk," kata Daniel yang juga anak Safura bersama bekas suaminya, Hairi Kool.
Kata Daniel, petugas perubatan berjaya menghentikan pendarahan dan membalut luka, manakala jari kelingking yang putus dimasukkan dalam bekas serta dibekukan.
"Ketika itu, tiada doktor pakar, yang ada hanya petugas perubatan.
"Abah bernasib baik kerana mereka berjaya menghentikan pendarahan walaupun jari kelingking sudah putus.
"Petugas perlu tunggu pengesahan doktor pakar sama ada jari kelingking boleh disambungkan atau sebaliknya.
"Namun, doktor pakar mengesahkan jari kelingking tidak dapat diselamatkan kerana urat arteri sudah putus," kata Daniel lagi.
Daniel turut memberitahu, keadaan bapa tirinya kini semakin stabil.
"Walaupun sedih tiada lagi jari kelingking, abah reda dengan ujian menimpanya pada Ramadan ini.
"Keadaan abah semakin stabil dan kini sedang berehat sehingga luka dialaminya sembuh sepenuhnya," ujarnya. - astroawani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!