City garang tewaskan Bayern
ERLING Haaland menjaringkan gol ke-45 peribadinya musim ini ketika Manchester City menewaskan Bayern Munich 3-0 dalam perlawanan suku akhir pertama Liga Juara-Juara pada Rabu.
Rodri dan Bernardo Silva turut meledak gol buat City yang mengorak langkah untuk menakluki kejuaraan tersebut buat kali pertama.
Ia juga kemenangan manis buat pengendali City, Pep Guardiola menentang bekas kelabnya itu buat kali pertama sejak meninggalkan Bayern, tetapi dia memberi amaran bahawa tugas itu belum selesai.
"Saya sudah tiga tahun di sana dan saya tahu di Eropah pasukan ini istimewa. Untuk mengalahkan pasukan ini anda perlu bermain dua perlawanan yang bagus bukan hanya satu.
"Saya tahu apa yang perlu kami lakukan di sana, mereka mampu menjaringkan satu, dua, tiga gol. Kami perlu melakukan permainan kami dengan personaliti tersendiri," katanya.
City juga berjaya membalas dendam terhadap pengendali Bayern Thomas Tuchel, yang sebelum ini menewaskan anak buah Guardiola untuk menjulang trofi tersebut ketika mengendalikan Chelsea pada final 2021.
Dalam pada itu, Guardiola mahu para pemainnya menyelesaikan tugas tersebut dalam perlawanan kedua di Munich minggu depan.
"Sudah tentu, apabila anda berada di sana, anda menyedari betapa bagusnya Bayern Munich sebagai satu pasukan.
"Sepanjang 55, 60 minit ia adalah permainan yang sukar dan dalam banyak saat mereka lebih baik daripada kami," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!