'PREC laksana tanggungjawab bantu yang memerlukan'

Peserta bergambar bersama Mohd Zawawi (tengah) sebelum majlis pelepasan konvoi.
Peserta bergambar bersama Mohd Zawawi (tengah) sebelum majlis pelepasan konvoi.
A
A
A

SHAH ALAM - Kira-kira 200 asnaf dan anak yatim dari empat rumah kebajikan menerima sumbangan PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) dan anak syarikatnya Park Here Sdn Bhd serta Central Holdings Berhad.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Fakru Radzi Ab Ghani, usaha itu antara salah satu aktiviti tanggungjawab sosial korporat PREC yang dilaksanakan tahun ini sempena program Kembara Ramadan.

"Usaha ini juga adalah untuk memberi semula kepada masyarakat melalui cara agihan wakalah zakat yang telah diperuntukkan untuk tahun ini.

"PREC menyalurkan hampir RM30,000 kepada empat rumah kebajikan setelah menilai dan melakukan lawatan berdasarkan khidmat nasihat Lembaga Zakat Selangor," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Rumah kebajikan berkenaan ialah Pusat Jagaan Titian OKU Nur Rawang, Pusat Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al Ikhlas Puchong, Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Asnaf An Naafi Ampang dan Rumah Amal Al Firdaus di Denai Alam.

Bantuan diberikan berupa sumbangan tunai dan barangan keperluan asas termasuk peralatan elektrik dan barangan rumah bagi membantu mengurangkan beban perbelanjaan harian.

Selain itu, PREC turut berkongsi keceriaan Aidilfitri bersama penghuni dan penjaga rumah kebajikan dengan memberikan sumbangan duit raya kepada mereka.

Terdahulu Majlis pelepasan program Kembara Ramadan PREC disempurnakan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal negeri, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!