Dua tahanan lolos berjaya ditahan semula

Dari kiri: Riki Rinaldi, Haji Samirudin
Dari kiri: Riki Rinaldi, Haji Samirudin
A
A
A

JOHOR BAHRU - Dua tahanan yang melarikan diri ketika dalam perjalanan menuju ke Penjara Satelit Ledang, pada pagi Selasa berjaya diberkas semula.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kedua-dua suspek warganegara Indonesia itu dikenali sebagai Haji Samirudin, 36, dan Riki Rinaldi, 40.

"Riki Rinaldi telah dijumpai pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai pada jam 9 malam pada Selasa, hasil maklumat daripada orang awam.

"Suspek ditemui pada jarak lebih kurang 10 kilometer dari tempat kejadian dalam keadaan tidak bermaya berikutan kecederaan yang dialami ketika terjun daripada kenderaan.

"Manakala Haji Samirudin ditemui pada jam 10.40 pagi Rabu, di ladang berhampiran tempat kejadian. Kedua-dua suspek kini ditahan di IPD Kulai," katanya menerusi kenyataan pada Rabu

Menurut beliau, sebelum insiden itu, kedua-dua suspek telah dijatuhkan hukuman penjara selama enam bulan mengikut Seksyen 56 (1A)(a) Akta Imigresen 1959/63 di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi.

"Dua suspek itu bertindak melarikan diri ketika dalam perjalanan ke Penjara Satelit Tangkak. Kejadian itu berlaku pada jam 10.50 pagi, Selasa ketika kenderaan yang membawa suspek melalui Jalan Inas-Kulai.

"Suspek bertindak membuka gari dan menendang pintu belakang kenderaan seterusnya meloloskan diri ke dalam hutan berhampiran," katanya.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan melakukan siasatan dalaman dan mengambil tindakan sekiranya berlaku perlanggaran prosedur keselamatan semasa membawa tahanan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!