Sanusi disaran belajar daripada MB Kelantan, Perlis

Dari kiri: Mahfuz, Muhammad Sanusi
Dari kiri: Mahfuz, Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar menyarankan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor agar mempelajari hal pengurusan pentadbiran negeri daripada Menteri Besar Kelantan dan Perlis terutamanya dalam menjaga hubungan dengan kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, sikap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu berbeza dengan keperibadian Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang dilihat mempunyai hubungan profesional dengan kerajaan Pusat sejak menjawat jawatan tersebut walaupun tidak sealiran politik.

"Sepatutnya dia (juga) belajar sama ada daripada orang baharu, Cikgu Mohd Shukri Ramli, Menteri Besar Perlis. Dia lebih berhemah, mungkin kerana latarbelakangnya sebagai cikgu, dia mempunyai teknik untuk menarik perhatian dan bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan," katanya ketika ditemui pada program moreh bersama media Kedah dekat sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas beberapa isu 'pengeseran' antara Muhammad Sanusi dan pemimpin Kerajaan Persekutuan malah terbaharu adalah dakwaan beliau cuba disingkirkan daripada Majlis Kewangan Negara.

Memetik laporan akhbar pada Ahad lalu, Menteri Besar Kedah itu berkata, ada usaha menamakan Setiausaha Kerajaan Kedah, Datuk Norizan Khazali sebagai penggantinya dalam Majlis Kewangan Negara.

Mahfuz yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah berkata, sekiranya Mohd Sanusi berterusan 'bergeseran' dengan kepimpinan kerajaan Pusat, rakyat Kedah akan merasai kesannya khususnya melibatkan pembangunan negeri pada tahun akan datang.

Jelasnya, Menteri Besar Kedah itu perlu tahu untuk membezakan kedudukannya sebagai seorang ahli politik dan juga ketua kerajaan negeri khususnya dalam urusan dan program rasmi melibatkan kerajaan negeri.

"Bagi saya, satu kerugian kalau (sikap) dia terus berlarutan (bergeseran dengan Kerajaan Persekutuan), akhirnya kalau dia masih kekal Menteri Besar (termasuk) selepas Pilihan Raya Negeri PRN akan datang, saya fikir malang bagi rakyat Kedah untuk tempoh lima tahun.

"Kita takkan dapat melihat kelajuan program pembangunan di Kedah, saya fikir Jika terus timbul ketegangan, pelabur pun akan takut, sama ada pelabur sedia ada ataupun yang baharu. Pelabur akan fikir (untuk datang melabur ke Kedah)," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!