'Minta Sanusi dedah perkara sebenar'
SUNGAI PETANI - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor diminta menghentikan pembohongan berkait Kerajaan Perpaduan termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Kedah, Nor Azrina Surip berkata, menteri besar itu sepatutnya menjadi sosok yang menenangkan semua pihak agar urusan kepentingan rakyat dapat dilaksanakan.
Menurutnya, ia bertepatan dengan titah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Undangan Negeri Kedah ke-14 pada Mac yang mahukan agar politik secara berlebihan dielakkan dan sentiasa berusaha menjaga hubungan di antara satu sama lain khususnya antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.
"Bagaimanapun, Muhammad Sanusi dilihat mengeluarkan kenyataan yang mengeruhkan hubungan ini termasuk isu larangan terhadapnya menghadiri mana-mana majlis kerajaan Persekutuan termasuk Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA'23)," katanya dalam satu kenyataan.
Namun, Nor Azrina berkata, melalui respon Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri menafikan tiada arahan sebegitu bahkan beliau menyarankan agar Muhammad Sanusi menyebarkan bukti Pekeliling yang menyatakan seperti apa yang beliau dakwa.
"Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari turut menyatakan Menteri Besar Kedah dijemput ke Majlis Pelancaran LIMA’23 dan beliau hadir baru-baru ini di Kuala Lumpur.
"Terkini, tular lagi isu Menteri Besar Kedah dalam ucapannya di satu majlis, ada usaha terancang untuk menggantikan beliau dengan Setiausaha Kerajaan Negeri dalam Majlis Kewangan Negara.
"Walhal dalam Perkara 108 Perlembagaan Persekutuan menetapkan Majlis Kewangan Negara perlu diketuai perdana menteri atau mana-mana menteri dilantik, manakala setiap negeri diwakili individu diperkenan Sultan atau Yang di-Pertua Negeri.
"Jelas menunjukkan tiada kuasa perdana menteri untuk menamakan orang lain selain individu yang diperkenan sultan jika mengambil konteks dalam negeri Kedah,"katanya.
Menurut Nor Azrina, dari pandangan di atas jelas menunjukkan bahawa pembohongan seperti itu tidak wajar dilakukan meskipun bertujuan berjenaka untuk menarik perhatian atau sokongan orang.
"Saya mengharapkan agar kepimpinan Menteri Besar Kedah mampu menterjemahkan kebenaran dalam ruang lingkup tindakan dan juga perkataan meskipun berdepan dengan sesuatu yang dianggap permusuhan," katanya.
Sebelum ini, Muhammad Sanusi mendakwa terdapat usaha terancang untuk menyingkirnya sebagai menteri besar yang mewakili Kedah dalam Majlis Kewangan Negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!