Pentingkan keuntungan berbanding keruntuhan akhlak
ALOR SETAR - Pas mempersoal kewajaran mengundang kumpulan K-Pop dari Korea Selatan, Bangtan Boys (BTS) ke negara ini bagi mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2020.
Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi berkata, alasan yang diberikan Kementerian Belia dan Sukan berhubung isu itu dianggap terlalu remeh, selain tiada kepentingan untuk negara mengagungkan kumpulan muzik luar.
Menurutnya, kerajaan PH sepatutnya lebih peka tentang kesan negatif yang dibawa kumpulan muzik itu berbanding memikirkan soal keuntungan industri hiburan.
“Kehadiran mereka sekali gus mempromosi budaya berdansa, bersuka ria dan pasti akan beri kesan terhadap anak muda negara ini, kita kesal kerana budaya itu bertentangan dengan adat ketimuran yang berpegang teguh pada pekerti tinggi,” katanya.
Ahmad Fakhruddin turut mengingatkan kerajaan, apabila sesebuah kumpulan hiburan antarabangsa dibawa masuk ke negara ini, ia turut sama membawa gejala negatif sampingan, seperti pergaulan bebas, pembaziran melampau serta keruntuhan akhlak.
“Apakah kerajaan PH lebih pentingkan keuntungan industri hiburan yang dikatakan boleh cecah AS$4 bilion, berbanding isu keruntuhan akhlak masyarakat Malaysia yang kian meruncing,” katanya.
Menurutnya, kerajaan PH tidak habis-habis mencetuskan elemen ‘lawak’ dalam pentadbirannya, yang sebelum ini kecoh dengan isu Doraemon.
“Tak habis lagi isu Doraemon dalam mempromosi Tahun Melawat Malaysia, sekarang isu BTS pula,” katanya, sinis.
Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memaklumkan pihaknya dalam usaha membawa masuk kumpulan K-Pop terkenal itu ke Malaysia tahun depan sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2020.
Beliau menjelaskan, kehadiran kumpulan muzik itu bukan bertujuan untuk melalaikan generasi muda, sebaliknya perlu dilihat sebagai pelaburan yang menguntungkan buat negara.
Syed Saddiq berkata, industri hiburan Malaysia mencatatkan keuntungan kira-kira AS$4 bilion selain menarik lebih 250,000 pengunjung ketika penganjuran MotoGP baru-baru ini.
Manakala konsert hiburan terbesar Ed Sheeran dihadiri 45,000 orang, di mana tiket habis dijual dalam tempoh tiga hari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!