Orang ramai diseru luang masa sertai World #QuranHour
SHAH ALAM - Orang ramai yang berkelapangan diseru meluangkan masa selama sejam pada 13 April bersamaan 22 Ramadan, di lokasi masing-masing untuk berinteraksi dengan al-Quran sempena World #QuranHour.
Ketua Bahagian Penyelidikan, Pembangunan & Kawalan Kualiti Warisan Ummah Ikhlas Foundation (WUIF), Ustaz Safri Muhammad Zein berkata, program tersebut mampu menaikkan imej Islam dan memupuk pembudayaan al-Quran dalam kehidupan sama ada dari segi pembacaan, penghayatan dan amalan.
Katanya, semua pihak perlu yakin bahawa al-Quran mampu mengubah kehidupan dan mengatasi segala masalah yang mereka lalui.
"Jadi, marilah kita sama-sama menjayakan World #QuranHour bukan sahaja di negara ini malah seluruh dunia. Program ini mengajar manusia untuk mendekati salah satu mukjizat yang diturunkan oleh Allah kepada hambanya.
"Kita tinggikan martabat al- Quran agar menjadi insan terpuji di dunia dan akhirat. Apabila fahami maksudnya, kita amalkan dalam kehidupan seharian," katanya pada Rabu.
Beliau berkata demikian selaku panelis pada program Bukan Cakap Kosong bertajuk World #QuranHour: Memanusiakan Manusia yang disiarkan secara langsung di Sinarharian.com.my pada Rabu.
Turut menjadi panel ialah Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff manakala Haizir Othman bertindak sebagai moderator.
World #QuranHour tahun ini diadakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), UIAM, Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia (MPAM) dan beberapa rakan sinergi media antaranya Sinar Harian, Bernama, Astro Oasis, Astro Awani dan TV9.
Tambah Safri, membaca, memahami dan mengamalkan setiap ayat al-Quran merupakan salah satu usaha untuk kembali kepada Allah.
"Diharapkan dengan adanya program sebegini, ia dapat mengembalikan generasi muda kepada al-Quran.
"Selain itu, pemilihan Surah Al-Insan pada tahun ini adalah bertujuan untuk mendidik diri kita agar tidak sombong dan yakin dengan Allah,"jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!