Chong Wei calon pengurus badminton RTG

Norza (kiri) bersama Chong Wei yang bakal menjadi pengurus skuad badminton projek RTG Sukan Olimpik Paris 2024. Foto Facebook BAM.
Norza (kiri) bersama Chong Wei yang bakal menjadi pengurus skuad badminton projek RTG Sukan Olimpik Paris 2024. Foto Facebook BAM.
A
A
A

DATUK Lee Chong Wei bakal dilantik sebagai pengurus bagi pasukan badminton projek Road To Gold (RTG) dalam misi negara meraih pingat emas sulung Sukan Olimpik Paris 2024.

Nama legenda itu dicadangkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam satu kenyataan media menerusi Facebook pada Rabu.

Presiden BAM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, Chong Wei seorang legenda dan pemain terhebat dunia, menjadikannya ikon paling sesuai menjadi pengurus RTG bagi sukan badminton.

Katanya, Chong Wei juga memiliki pengalaman luas dan banyak pengetahuan dari zaman bergelar pemain, selain cukup dihormati.

“Tiada orang yang lebih baik untuk menjadi pengurus pasukan kerana kami berusaha untuk mencapai impian emas di Paris," ujar Norza.

Chong Wei, 41, memenangi tiga pingat perak di tiga temasya Olimpik berbeza iaitu Olimpik Beijing, London dan Rio, menyatakan kesediaannya membimbing prospek pingat emas di Paris.

“Walaupun sudah sebahagian daripada Jawatankuasa RTG, namun pelantikan sebagai pengurus pasukan badminton ini meningkatkan lagi tumpuan kepada badminton dan peranan yang lebih dekat dari segi membantu persiapan pemain.

"Ini adalah tanggungjawab yang besar dan jika dilantik saya sedia mengambilnya dan memainkan peranan untuk membantu Malaysia.

"Memenangi pingat emas Olimpik pertama telah menjadi agenda kebangsaan. Ia adalah harapan rakyat Malaysia,” ujar Chong Wei.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!