PRN: Tak patut tiada kerusi MCA, MIC
SEREMBAN - MCA dan MIC Negeri Sembilan berpendapat tidak sepatutnya mereka tidak diberikan sebarang kerusi untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Menurut Ketua MCA negeri, Siow Koi Voon, pihaknya kekal dengan prinsip semua parti komponen yang sertai Kerajaan Perpaduan perlu diberikan peluang untuk bertanding.
"Kami bukannya tidak mahu bersikap terbuka dalam soal ini, tapi prinsip itu tidak sesuai digunakan dan bercanggah dengan semangat Kerajaan Perpaduan.
"Lagi pun BN mewakili semua kaum. Tidak sepatutnya UMNO ada kerusi, tapi MCA tiada kerusi. Kenapa MCA dianaktirikan oleh keluarga sendiri?" katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Menurutnya, hasrat itu telah dimaklumkan kepada Pengerusi BN Negeri Sembilan yang baharu, Datuk Seri Jalaluddin Alias dalam pertemuan baru-baru ini.
Sementara itu Ketua MIC negeri, Datuk L Manickam pula tidak mahu mengulas lanjut soal itu tetapi tidak bersetuju jika parti itu tidak diberi sebarang kerusi.
"Perkara itu saya tiada komen kerana ia akan diuruskan oleh pucuk pimpinan MIC.
"Tapi secara peribadi, saya tak setuju jika MIC tidak diberikan kerusi. Sepatutnya setiap parti komponen diberikan ruang untuk bertanding, tak boleh dikecualikan," katanya.
Beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang berkata, MIC belum dipanggil untuk duduk semeja berbincang soal menghadapi PRN dengan PH.
Bagaimanapun katanya, beliau telah pun mengadakan perbincangan dengan Penyelaras DUN Jeram Padang dari PH mengenai perkara yang perlu dilakukan bagi menghadapi PRN nanti.
"Tak timbul apa-apa isu di sini kerana sama-sama telah terima Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat dan negeri," katanya.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, secara jelasnya kepimpinan tertinggi PH dan BN telah bersetuju pembahagian kerusi di enam negeri mengikut status quo.
Jelasnya, ia bermaksud PH dan BN akan kekal bertanding di kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14, begitu juga dengan jumlah kerusi bagi kedua-duanya.
Pada PRU14, PH memenangi 20 kerusi DUN manakala BN, 16 kerusi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!