Perak sedia infrastruktur bagi pelaburan China

Saarani (tengah) menyerahkan juadah raya kepada Pengarah Bomba Perak, Azmi Osman di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Rabu.
Saarani (tengah) menyerahkan juadah raya kepada Pengarah Bomba Perak, Azmi Osman di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak akan menyediakan infrastruktur dengan menambah baik kemudahan berhubung pelaburan bagi pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, antara prasarana yang dirancang adalah menyediakan rumah mampu milik dan sekolah baharu.

"Kita sedia maklum memang ada pelaburan RM32 bilion masuk dan apabila Proton memindahkan operasi dari Shah Alam ke Proton City menjelang tahun 2027, keseluruhan operasi termasuk vendornya, Geely akan berpindah ke Tanjung Malim.

"Kita ada sebuah jawatankuasa yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim telah mengadakan mesyuarat untuk menyediakan infrastruktur kepada pelaburan itu dengan lebih cepat terutama menyediakan ruang atau kawasan untuk perindustrian itu.

"Kita sedang buat persiapan untuk menerima kehadiran pekerja-pekerja. Jadi, Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak telah turun untuk melihat bagaimana kita hendak sediakan rumah yang mencukupi," katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Juadah Raya Kerajaan Negeri Perak Kepada Pasukan Badan Beruniform di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Tambah Saarani, pihaknya juga akan memohon kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menambah lebih banyak sekolah di daerah Mualim itu.

"Bayangkan jika terdapat 7,000 pekerja dengan 7,000 keluarga dan mereka mempunyai sekurang-kurangnya tiga anak dan kita akan mempunyai 21,000 kanak-kanak bersekolah.

"Kita sudah minta kepada kementerian dan Proton City bersedia menyediakan tapak. Kita akan jalankan bancian untuk dapatkan angka yang tepat dan mencadangkan tapak yang sesuai untuk sekolah terbabit," katanya.

Media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merayu empat kerajaan negeri yang terlibat secara langsung dengan pelaburan besar dari China untuk mempercepatkan proses berkaitan pelaksanaan projek itu.

Empat negeri itu ialah dua di Pahang dan Tanjung Malim, Perak melibatkan pelaburan dari syarikat Zhejiang Geely Holding Group (Geely) manakala Rongsheng Petrochemical Co di Pengerang, Johor dan Terengganu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!