Guna Sim Box, empat lelaki didenda RM150,000
KUALA LUMPUR - Empat lelaki didenda antara RM30,000 dan RM60,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah menggunakan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Hakim N. Priscilla Hemamalini menjatuhkan hukuman itu ke atas Chua Vi Vern, 32; Lu En Ci, 25; Liew Kok Chun, 28, dan Kitmikael, 22, selaku Orang Kena Saman (OKS), dan memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.
Chua didenda RM60,000 kerana mempunyai dua pertuduhan manakala tiga lagi individu masing-masing didenda RM30,000 atas satu pertuduhan.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menggunakan 52 unit Sim Box tiada jenama dan model yang tidak diperakui oleh Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 di tiga lokasi berbeza iaitu Spring Avenue Residensi, Residensi Kuchai Damai dan Kondominium Taman Dinasti antara 9 malam hingga 11.10 pagi pada 25 Nov 2021 dan 19 Jan 2022.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Peraturan-Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 dan Peraturan 16 (3) peraturan sama yang boleh dihukum di bawah Peraturan 37 peraturan sama yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.
Terdahulu, kesemua OKS yang tidak diwakili peguam merayu denda minimum dengan alasan mereka mempunyai tanggungan keluarga selain tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau.
Pegawai Pendakwa dari MCMC, Nur Nazhzilah Mohammad Hashim memohon hukuman denda setimpal supaya memberi pengajaran terhadap kesemua OKS dengan mengambil kira faktor kepentingan awam. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!