Olahraga, renang ditagih sumbang banyak emas

Mohd Nasir - Foto Agensi
Mohd Nasir - Foto Agensi
A
A
A

ATLET sukan renang dan olahraga perlu membantu kontinjen Malaysia untuk membutirkan emas selepas beberapa sukan yang menjadi lubuk pada temasya Sukan SEA Kemboja digugurkan.

Malaysia kehilangan 15 emas apabila beberapa sukan tidak dipertandingkan oleh tuan rumah sekali gus mendorong kontinjen negara berhati-hati meletakkan sasaran pada temasya dwitahunan itu.

Ketua Kontinjen negara (CDM), Datuk Mohd Nasir Ali berkata, sukan akuatik terutama terjun yang sebelum ini menjadi lubuk emas terpaksa berhati-hati menetapkan sasaran kerana acara dikurangkan kepada separuh.

Sebelum ini Malaysia menyapu bersih lapan emas dalam sukan terjun di Hanoi, namun kali ini tuan rumah menyenaraikan empat acara sahaja.

"Kita nak letakkan sasaran lebih tinggi berbanding apa yang dicapai ketika di Hanoi, Vietnam tahun lalu, namun kita perlu ambil kira kehilangan 15 emas.

"Ada sukan yang sebelum ini dapat emas tidak dipertandingkan seperti memanah dan bina badan. Ada juga sukan sebelum ini dipertandingkan tetapi acara dikurangkan seperti terjun, gimnastik dan angkat berat.

"Dua isu ini kita telah kehilangan banyak pingat emas. Kita harap sukan-sukan lain seperti olahraga dan renang serta atlet bawah 23 tahun melakukan kejutan membantu negara meraih emas.

"Apa pun kita tetap melakukan yang terbaik - memperbaiki pencapaian tahun lalu sewaktu di Hanoi. Kita tidak mahu menjadikan cabaran ini sebagai satu alasan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat bersama pengurus pasukan Sukan SEA di Wisma MOM, Kuala Lumpur pada Rabu.

Hadir sama Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia(MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Najib.

Turut hadir timbalan CDM, Datuk Shalin Zulkifli dan Sharon Wee.

Pada Sukan SEA Hanoi tahun lalu, kontinjen negara melepasi sasaran 36 pingat emas apabila menamatkan saingan di kedudukan keenam setelah mengumpul 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa.

Dalam pada itu, Mohd Nazifuddin memberi bayangan penetapan pingat menjelang bengkel penetapan sasaran pingat yang berlangsung pada Khamis akan dilakukan dengan lebih berhati-hati.

"Kita lihat ramai atlet pelapis baharu akan menyertai Sukan SEA kali ini buat kali pertama.

"Jadi kita belum tahu adakah mereka mampu mencapai prestasi terbaik. Jadi saya sarankan kita lebih berhati-hati untuk membuat sasaran yang tinggi.

"Perlu jaga jangkaan rakyat. Kita lebih selesa meletakkan jangkaan yang rendah tapi mampu lakar kejutan luar biasa daripada letak jangkaan tinggi tetapi mengecewakan dari segi pencapaian," katanya.

Pasukan tuan rumah memperkenalkan sukan tradisional mereka seperti catur tradisional seperti Xiangqi dan Ouk Chaktrang.

Turut diperkenalkan ialah sukan tempur seperti Kun Khmer sekali gus menjejaskan peluang negara untuk meraih emas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!