Sasar jualan RM3 juta di KUD Terengganu
KUALA NERUS - Lebih 300 usahawan desa daripada pelbagai sektor disasarkan untuk mencapai nilai jualan melebihi RM3 juta menerusi penganjuran Karnival Usahawan Desa (KUD) 2019 Zon Timur di Terengganu.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, sasaran itu dibuat berdasarkan kejayaan menerusi penganjuran sebelum ini selain mendapat pembabitan lebih ramai usahawan desa.
Menurutnya, penyertaan peserta KUD di Terengganu lebih tinggi berbanding peserta menyertai di Pulau Pinang sebelum ini dan diharap lebih ramai usahawan akan menyertai acara kemuncak di Putrajaya.
"Bukan sahaja usahawan yang kita hendak tetapi juga (peningkatan) dari segi pemasaran online (atas talian) yang kita akan bawa sifu-sifu Facebook dan sebagainya untuk berkongsi ilmu dan pengalaman.
"Ini untuk menumpukan kepada perniagaan online dengan memberi maklumat kepada usahawan desa bagaimana hendak memasarkan produk mereka," katanya kepada media selepas merasmikan KUD 2019 Zon Timur di Kompleks Sukan Negeri di sini, hari ini.
Hadir sama, Speaker DUN Terengganu, Yahaya Ali dan Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim.
Sementara itu, penganjuran KUD 2019 diprogramkan di lima lokasi dan KUD Zon Timur adalah program kedua diadakan selepas Pulau Pinang serta berlangsung selama tiga hari bermula 25 hingga 27 April.
Kemudian, KUD 2019 akan ke Kulim, Kedah untuk KUD Zon Utara 2 selama empat hari iaitu 27 hingga 30 Jun sebelum ke Kota Kinabalu untuk Zon Sabah pada 22 hingga 25 Ogos.
Acara kemuncak KUD 2019 akan diadakan di Putrajaya selama lima hari iaitu dari 17 hingga 21 Oktober depan.
Mengulas lanjut, Rina berkata, pihaknya menyasarkan KUD 2019 mencapai nilai jualan keseluruhan melebihi RM50 juta menerusi penganjuran di lima lokasi berakhir di Putrajaya Oktober ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!