'Saya hanya perbetulkan kesilapan mereka' - Sanusi
ALOR SETAR - Maklumat yang tidak benar mengenai Kedah wajar diperbetulkan dengan fakta.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tindakannya memperbetulkan kesilapan kenyataan pemimpin Pakatan Harapan (PH) termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa menteri disalah erti sebagai tidak berhemah.
Dalam masa sama, beliau menjelaskan, tidak mempunyai sebarang masalah untuk berkawan atau menjalin hubungan baik dengan kerajaan persekutuan.
“Saya tak ada masalah peribadi atau nak bergaduh dengan sesiapa. Saya hanya memperbetulkan kesilapan mereka, yang mereka panas dan koyak, kenapa?
“Di Perlis orang tak kacau Perlis Aerotropolis dan tak ada cakap benda tidak benar tentang Perlis. Di Kelantan pun sama, tak ada orang cakap perihal perkara tak benar tentang Kelantan.
"Apa yang dijawab oleh beberapa menteri di Parlimen adalah tidak benar termasuklah Perdana Menteri,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Darul Aman pada Rabu.
Muhammad Sanusi berkata, mana-mana pemimpin yang mengeluarkan kenyataan yang tepat mengenai Kedah akan dirai sebagai rakan.
“Saya betulkan fakta tentang KXP (Kedah Aerotropolis) dan tanah rizab Melayu. Saya bukan gaduh dengan mereka.
"Contohnya, baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi datang Kedah dan beliau tidak ada isu salah tentang Kedah, saya sambut dan berkawan baik, bergelak, tak ada masalah,” ujarnya.
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar yang menyarankan Muhammad Sanusi agar mempelajari hal pengurusan pentadbiran negeri daripada Menteri Besar Kelantan dan Perlis terutamanya dalam menjaga hubungan dengan kerajaan Persekutuan.
Mahfuz mendakwa, sikap Muhammad Sanusi berbeza dengan keperibadian Datuk Ahmad Yakob dan Mohd Shukri Ramli yang dilihat mempunyai hubungan profesional dengan kerajaan pusat walaupun tidak sealiran politik.
Bagaimanapun, Muhammad Sanusi membidas Mahfuz dan menyifatkan pendekatan beliau dalam berkawan adalah jauh lebih baik berbanding Mahfuz.
“Saya rasa bab berkawan dengan orang, saya jauh lebih baik mengatasi Mahfuz dan pemimpin PH lain. Mereka lepas saman orang, tak kawan dah.
"Saya boleh kawan lepas Mahfuz saman saya, boleh salam lagi. Bila saya saman dia, dia tak mahu salam dah dengan saya. Itu perbezaan mereka dengan saya, jadi jangan ukur saya dengan kayu pengukur mereka,” ujarnya.
Menurutnya lagi, biarpun bergelar Menteri Besar, beliau berkawan dengan semua lapisan masyarakat tanpa memilih status.
“Saya berkawan dengan semua orang termasuk pemandu di Wisma Darul Aman. Daripada sekecil-kecil jawatan sampai ke peringkat atas, semua saya kawan.
“Sebab itu banyak maklumat sampai kepada saya. Oleh itu tak usahlah nak ajar saya tentang berkawan. Belajar dulu untuk diri sendiri,” katanya dengan nada sinis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!