Wartawan terkenal Vietnam dihukum penjara 6 tahun

Nguyen Lan Thang - Foto Agensi
Nguyen Lan Thang - Foto Agensi
A
A
A

HANOI - Seorang wartawan terkenal Vietnam yang mendokumentasikan bantahan dan pencabulan hak asasi manusia di negara diperintah Komunis telah dijatuhi hukuman penjara enam tahun pada Rabu.

Nguyen Lan Thang, seorang aktivis dan penulis bebas yang terkenal di Vietnam, sering menyuarakan kritikan pedasnya terhadap kerajaan telah disabitkan bersalah menyebarkan propaganda antinegara dalam perbicaraan secara tertutup di Hanoi.

Peguamnya, Nguyen Ha Luan memberitahu AFP bahawa anak guamnya itu juga dijatuhkan hukuman percubaan selama dua tahun.

Vietnam mempunyai sekatan ketat terhadap kebebasan bersuara dan kerajaan bertindak cepat dalam menyekat perbezaan pendapat dan menangkap pengkritik.

Thang, 47, ditahan di rumahnya di Hanoi pada Julai tahun lalu dan beliau dinafikan hak untuk menerima kunjungan keluarga di penjara.

Isterinya, Le Bich Vuong menulis dalam ciapan di Facebook bahawa dia terkejut dengan hukuman tersebut.

"Saya mengharapkan kebebasan suami saya kerana apa dilakukannya adalah di jalan yang benar," katanya.

Thang yang dilahirkan dalam keluarga ternama sering melaporkan pelbagai isu, mempertahankan hak asasi manusia dan kebebebasan beragama serta menyokong petisyen hak tanah. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!