Kakitangan bank nikmati pelarasan gaji sehingga 18 peratus

Presiden MCBA, Datuk Nora Abd Manaf dan Presiden NUBE, Michael Tan bertukar-tukar dokumen Perjanjian Kolektif MCBA-NUBE ke-19 di Kuala Lumpur, hari ini. Turut hadir (dari kiri) Pengarah Eksekutif MCBA, Chua Kim Lin; Pengerusi Persatuan Bank-bank Malaysia, Datuk Khairussaleh Ramli; Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin; Konsultan NUBE, Raghawan Raghawan dan Solomon.

A
A
A

KUALA LUMPUR - Setelah hampir dua tahun dirundingkan, Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) bersama Persatuan Bank-bank Komersial Malaysia (MCBA) secara rasminya menandatangani Perjanjian Kolektif (CA) Ke-19 pada Rabu.

Berucap pada majlis menandatangani (CA) berkenaan, Setiausaha Agung NUBE. J. Solomon berkata, perjanjian itu berkuat kuasa bagi tempoh 1 Januari 2021 sehingga 31 Disember 2023 atau sehingga diperbaharui dengan CA yang baharu.

Beliau berkata, terdapat lebih 20 skim dan insentif bukan kewangan dan kewangan yang telah dipersetujui melalui rundingan antara kedua-dua pihak itu yang sekali gus memberi manfaat serta memartabatkan pekerja sektor perbankan terutamanya ahli NUBE.

Antaranya yang dipersetujui adalah melibatkan pelarasan gaji sehingga 18 peratus, bayaran tunggakan gaji sejak 2021 dan bayaran khas sebanyak satu bulan gaji untuk setiap perayaan utama.

"NUBE dan MCBA telah bekerja keras bagi memastikan CA kali ini ditandatangani lebih awal dan sekurang-kurangnya ahli-ahli NUBE dapat merasai hasilnya sebelum berakhirnya Ramadan ini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kira-kira 17,000 kakitangan perkeranian bank perdagangan di Semenanjung Malaysia dijangka akan menerima pelarasan gaji menerusi CA yang baharu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!