Peniaga perlu henti harapkan subsidi tambahan - Ameer Ali

Ameer Ali
Ameer Ali
A
A
A

SHAH ALAM - Pengarah Urusan Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Dr Ameer Ali Mydin menasihatkan kepada peniaga Menu Rahmah supaya tidak mengharapkan subsidi tambahan untuk kekal menjual hidangan tersebut.

Menurutnya, kerajaan sudah memaklumkan menu tersebut merupakan inisiatif daripada pihak persendirian yang mahu membantu golongan kurang berkemampuan untuk mendapatkan makanan.

Jelas Ameer Ali, penjualan Menu Rahmah hanyalah bersifat sukarela dan bukanlah wajib untuk dilaksanakan oleh semua peniaga makanan.

“Saya harap para peniaga tidak minta kerajaan untuk beri subsidi tambahan kerana pelaksanaan inisiatif tersebut hanyalah satu bentuk pertolongan buat masyarakat kita.

“Kerajaan sebenarnya telah banyak memberikan subsidi antaranya telur, minyak masak dan mengenakan harga kawalan bagi ayam. Bukan itu sahaja, ikan yang kita beli di pasar itu sebenarnya ada juga subsidi kerana kerajaan beri diesel kepada nelayan,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menjalankan kajian menyeluruh dalam masa terdekat bagi mengkaji insentif kepada peniaga yang terlibat dalam pelaksanaan Menu Rahmah yang diperkenalkan Februari lalu.

Dalam pada itu, Ameer Ali bersetuju jika kerajaan melaksanakan subsidi bersasar yang mana penerima manfaatnya adalah golongan yang memerlukan sahaja.

Jelas beliau, kerajaan perlu mewujudkan skim untuk membantu kumpulan sasaran subsidi seperti golongan berpendapatan rendah (B40).

Pada masa sama, beliau turut menegaskan bahawa pelaksanaan inisiatif Menu Rahmah tidak memberi populariti kepada kerajaan seperti yang diperkatakan oleh sesetengah peniaga.

“Saya tidak terfikir penjualan menu tersebut akan menguntungkan Mydin, Menteri KPDN atau mana-mana kedai yang menjual makanan berkenaan kerana bagi saya inisiatif itu dapat memberi manfaat kepada golongan yang tidak mampu membeli hidangan lengkap.

“Bagaimanapun, saya faham rintihan peniaga-peniaga kecil, tak mampu untuk menjual Menu Rahmah disebabkan keuntungan yang diraih sedikit. Sekiranya golongan itu (penjual) rasa terbeban, tidak perlu jual makanan tersebut kerana ia bukan paksaan,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!