Bantu kurang mampu, erat silaturahim

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail meluangkan masa beramah mesra dengan pengunjung.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail meluangkan masa beramah mesra dengan pengunjung.
A
A
A

SHAH ALAM - Program Iftar ala Madinah @ Karangkraf membantu mengeratkan hubungan silaturahim antara pengunjung termasuk mereka yang pertama kali hadir bagi menikmati juadah bersama-sama masyarakat daripada pelbagai latar belakang.

Rata-rata pengunjung mengakui program sebegini bukan sahaja membantu mereka tetapi juga mengeratkan hubungan sesama rakan mahupun masyarakat sekeliling.

Pelajar, Nur Khaleeda Ahmah Mahyadin, 23, berkata, program berbuka puasa secara terbuka merupakan pengalaman pertama bersama rakan-rakan kampus yang lain.

“Selalunya kami berbuka beramai-ramai di tempat tertutup seperti di masjid sekitar kampus tetapi pertama kali hadir ke sini sangat seronok dengan suasana terbuka macam ini.

“Majlis iftar ini boleh mengeratkan lagi hubungan silaturahim sebab kita dekat sini bukan kenal sesiapa kecuali kawan yang datang. Jadi mungkin kalau duduk bersama boleh berbual dengan orang baru,” ujarnya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Bagi kerani, Siti Aisah Rosli, 23, berkata, program iftar di sini sangat mengujakan kerana dapat berkumpul bersama-sama menikmati juadah.

Gambar dari kiri: Nur Khaleeda, Siti Aisah, Alif Adnan dan Syed Muhammad.
Gambar dari kiri: Nur Khaleeda, Siti Aisah, Alif Adnan dan Syed Muhammad.

Tambahnya, sewaktu hadir dia dapat bersuai kenal dengan orang ramai tanpa mengenal latar belakang mereka.

“Bagi saya seronok sebab pertama kali merasai pengalaman berbuka dalam keadaan terbuka macam ni dan beramai-ramai.

“Iftar ini boleh mengeratkan hubungan silaturahim sebab kami tak kenal pun orang dekat sini tapi setakat ini okay sahaja kita bertegur sapa dengan orang lain,” jelasnya.

Pelajar, Alif Adnan, 23, berkata, selain mengeratkan hubungan sesama rakan kelas, program seperti ini juga mampu membantu para pelajar yang turut terkesan dengan masalah kewangan.

MenurutnyQa, program itu dapat membantu dia dan rakan-rakan berjimat sepanjang bulan Ramadan.

“Program ini dilihat boleh membantu kepada sesiapa yang kurang berkemampuan lebih-lebih pelajar macam kami yang mempunyai masalah kewangan.

“Saya berpendapat program ini boleh mengeratkan hubungan dengan rakan-rakan kelas yang lain dan juga orang ramai yang hadir,” ujarnya.

Dalam pada itu, pelajar, Syed Muhammad Danial, 23, berpendapat, pengalaman berbuka ala Madinah ini begitu berbeza dan kehadiran orang ramai yang memeriahkan suasana.

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berbuka puasa bersama pengunjung.
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berbuka puasa bersama pengunjung.

Jelasnya, program ini dapat membantu orang ramai yang kurang berkemampuan dan juga mengeratkan hubungan sesama manusia.

“Pengalaman berbuka secara beramai-ramai satu pengalaman yang sangat menarik dan saya sendiri teruja untuk hadir ke sini.

“Bagi saya program ini memang bagus dan kita boleh mengeratkan silaturahim dengan orang ramai selain rakan di kampus,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!