Melaka tidak sekat mana-mana penceramah agama
JASIN - Kerajaan negeri tidak pernah memberi fokus nama-nama penceramah tertentu yang dibenarkan untuk menyampaikan ceramah di negeri ini.
Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, apa yang lebih penting pihaknya melihat kepada nilai yang ingin dibawa dan sekiranya nilai itu buruk kepada masyarakat walaupun apa sahaja mazhab yang mereka ikuti ia akan dilarang dan disekat untuk berceramah.
Menurutnya, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) juga sentiasa membuat pemantauan dan penceramah itu dikawal berdasarkan pentauliahan bagi memastikan mereka yang benar-benar layak sahaja menyampaikan ilmu agama.
Malah katanya, setakat ini juga tiada kategori meletakkan seorang penceramah berdasarkan kecenderungan pendidikan agama mereka sama seperti berpegang dengan Sunnah Waljamaa, salafi dan sebagainya.
"Pentingnya tujuan ceramah agama itu diadakan untuk menyampaikan ilmu pengetahuan dan tidak menjadikan ceramah itu menimbulkan keresahan atau keregangan dalam kalangan masyarakat termasuk tidak menabur fitnah.
"Pemantauan dibuat dari semasa ke semasa dan kawalan akan tetap ada kerana itu penting pentauliahan kepada penceramah di Melaka," katanya.
Adly berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Dewan Serbaguna DUN Serkam, di sini, hari ini.
Hadir sama, Penyelaras JAPERUN Serkam, Muhammad Kamal dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Mustaffa Ali.
Tambah Adly, yang juga Pengerusi MAIM, kemudahan masjid dan surau dapat terus disuburkan serta diimarahkan dan tidak hanya menunggu apabila Ramadan menjelma.
Dalam perkembangan lain, Adly berkata, setiap kemudahan baharu yang dibina perlu digunakan sebaiknya agar bangunan berkenaan dimanfaatkan oleh segenap lapisan masyarakat.
"Mesti menggunakan dewan ini semaksimum mungkin kerana tujuan ia dimanfaatkan termasuk dapat digunakan golongan wanita dan juga belia selain menjadi perangsang kepada Jawatankuasa dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) untuk mengadakan aktiviti kemasyarakatan.
Difahamkan dewan yang terletak di belakang kompleks JAPERUN Serkam menelan kos RM2.3juta dan telah siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!