Pemandu, kelindan lori maut kemalangan
HULU SELANGOR - Dua lelaki maut selepas lori dinaiki mereka melanggar belakang sebuah treler di kilometer 402.7 Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke Kuala Lumpur pada Khamis.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Morni Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada jam 4.13 pagi.
"Sepasukan 10 anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Sentosa dikejarkan ke tempat kejadian," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Morni berkata, kemalangan membabitkan sebuah treler jenis Scania yang telah dilanggar dari belakang oleh sebuah lori membawa muatan ais batu jenis Isuzu.
"Dua lelaki berusia 30-an yang menaiki lori itu dipercayai maut tersepit di bahagian pemandu dan kelindan.
"Identiti kedua-dua mangsa bagaimanapun masih belum dikenal pasti," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!