58,351 liter diesel seleweng dirampas di kawasan nelayan
IPOH - Sebanyak 58,351 liter minyak diesel bersubsidi yang diseleweng di kawasan nelayan berjaya diselamatkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak dalam dua serbuan di Manjung pada Rabu.
Serbuan Op Tiris sekitar jam 11 pagi itu turut menahan tiga lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia lingkungan 24 hingga 62 tahun untuk siasatan lanjut.
Pengarah KPDN negeri, Datuk Kamaluddin Ismail berkata, hasil pemeriksaan menemui lima skid tank yang di dalamnya cecair disyaki minyak diesel bersubsidi bernilai RM96,279.
"Arahan pengisytiharan stok dan mengemukakan dokumen di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 telah dikeluarkan terhadap kedua-dua premis berkenaan.
"Hasilnya mendapati premis ini tidak mempunyai lesen yang sah bagi aktiviti menjual minyak diesel secara runcit," katanya dalam satu kenyataan media di sini pada Khamis.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Katanya, KPDN sentiasa komited dan akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan yang berkaitan bagi mempertingkatkan kawal seliaan dan operasi ke atas pengedaran barang-barang kawalan di seluruh negara.
"Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti penyalahgunaan barang kawalan ini.
"Tindakan tegas akan diambil termasuklah mendakwa mereka di mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!