Teliti kompleks baharu tempatkan pusat pentadbiran, DUN
GEORGETOWN - Pulau Pinang dilihat perlu meneliti untuk membina bangunan baharu bagi menempatkan Dewan Undangan Negeri beserta pusat pentadbiran kerajaan.
Yang Dipertua Pulau Pinang, Tun Dr Abdul Rahman Abbas berkata, cadangan pembinaan bangunan DUN baharu itu dibuat berdasarkan bilangan wakil rakyat yang semakin bertambah.
Menurutnya, ia juga bagi memberi keselesaan kepada mereka yang terlibat antaranya pegawai bertugas dan media.
"Pada persidangan lalu, saya telah mengusulkan pembinaan bangunan DUN Pulau Pinang baharu. Bangunan sedia ada digunakan sejak tahun 1959 yang mana pada ketika itu, bilangan ADUN adalah 24 berbanding 40 pada waktu ini.
"Kemajuan dan kepesatan pembangunan Pulau Pinang pada masa ini tidak dapat dinafikan. Oleh itu, saya amat mengharapkan kerajaan negeri memandang serius usul untuk mendirikan bangunan DUN baru untuk keselesaan sidang serta untuk menampung jumlah wakil rakyat, pegawai bertugas, media serta keperluan lain yang perlu untuk ditambahbaik," katanya.
Abdul Rahman berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Sidang DUN ke 14 di Dewan Sri Pinang tadi.
Tambahnya, selain bangunan DUN, bangunan Komtar yang kini dijadikan sebagai pusat pentadbiran kerajaan yang dibina sejak 1986 itu juga dilihat perlu dipindahkan ke bangunan baharu.
"Saya juga ingin mengusulkan cadangan baharu kepada kerajaan Pulau Pinang agar membina bangunan yang menempatkan pusat pentadbiran kerajaan bersama bangunan DUN. Selain itu, cadangan ini mengambil kira insiden kebakaran kecil beberapa minggu lalu yang menimbulkan suasana panik, kurang selesa dan lain-lain kelemahan yang ketara.
"Keperluan ruang kerja baharu dengan mengambil kira keperluan pertambahan kakitangan jabatan kerajaan juga menjadi faktor agar pembinaan pusat pentadbiran kerajaan yang baharu selari dengan pembangunan semasa diteliti.
"Oleh itu, saya rasa tiba masanya untuk kerajaan negeri meneliti secara bersungguh-sungguh agar bangunan DUN dan pusat pentadbiran kerajaan dibina dalam satu kompleks. Tapak tebus guna strategik yang akan dimiliki kerajaan negeri dilihat amat sesuai bagi pembangunan ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!