Pulau Pinang mohon bantuan Nadma buat pembenihan awan

Keadaan Empangan Teluk Bahang ketika ini yang hanya mempunyai kapasiti efektif 50.7 peratus.
Keadaan Empangan Teluk Bahang ketika ini yang hanya mempunyai kapasiti efektif 50.7 peratus.
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang memohon bantuan segera daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk operasi pembenihan awan dijalankan di kawasan tadahan air empangan di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan Perbadanan Bekalan Air Holdings Bhd, K Pathmanathan berkata, dalam perbincangan pada 29 Mac lalu, satu surat rasmi daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri bertarikh 30 Mac 2023 telah memaklumkan kepada Bahagian Pelaksanaan Operasi Nadma beberapa perkara berhubung permohonan tersebut.

Menurutnya, antara yang dimaklumkan adalah perubahan iklim menyebabkan taburan hujan yang rendah direkodkan di kawasan tadahan air Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang (di bahagian pulau) sekali gus menyebabkan kapasiti efektif empangan menyusut dengan ketara.

"Sehingga hari ini (Khamis), kapasiti efektif Empangan Air Itam menunjukkan 49.5 peratus berbanding 82.5 peratus pada 1 Januari lalu.

"Sementara itu, kapasiti efektif bagi Empangan Teluk Bahang pula adalah 50.7 peratus berbanding 64 peratus bagi tempoh sama.

"Kapasiti efektif kedua-dua empangan ini diunjurkan akan terus susut kepada tahap kritikal jika musim kemarau semasa berlanjutan hingga Ogos nanti," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Jelas beliau, Kerajaan Pulau Pinang telah meluluskan peruntukan RM400,000 bagi pelaksanaan operasi pembenihan awan di kawasan tadahan air kedua-dua empangan itu.

"Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri telah merujuk kepada Jabatan Meteorologi mengenai status terkini syarikat yang layak yang boleh menjalankan operasi pembenihan awan.

"Bagaimanapun, tiada syarikat yang boleh memenuhi kriteria dan syarat yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

"Oleh itu, Kerajaan Pulau Pinang tidak mempunyai pilihan selain meminta bantuan Nadma untuk campur tangan dan memudahkan pelaksanaan operasi pembenihan awan secepat mungkin," katanya.

Beliau berharap agar Nadma akan mengutamakan dan memenuhi permintaan Pulau Pinang kerana operasi pembenihan awan perlu dijalankan secepat yang mungkin untuk mencetuskan hujan yang akan mengisi semula Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang.

"Pulau Pinang mesti mengelak potensi krisis bekalan air yang boleh menyebabkan penderitaan yang tidak sepatutnya kepada 1.74 juta orang dan mengganggu semua aktiviti sosioekonomi yang telah menyumbang RM99 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar negara pada 2021," tambah beliau.

Sebelum ini, PBAPP mengumumkan kapasiti efektif dua empangan utama di negeri ini iaitu Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang menunjukkan penurunan kira-kira 50 peratus susulan cuaca panas selain kadar penggunaan yang tinggi.

Pathmanathan berkata, pada Isnin (10 April), kapasiti efektif Empangan Air Itam adalah 51.8 peratus berbanding 82.5 peratus pada 1 Januari lalu, manakala Empangan Teluk Bahang adalah 51.3 peratus berbanding 64 peratus pada tempoh sama.

Menurutnya, bagi Empangan Air Itam pada Januari, ia merekodkan jumlah hujan 20 milimeter(mm), 85.5mm (Februari) dan 23.5mm pada Mac.

Sementara itu, bagi Empangan Teluk Bahang, 62.5mm pada Januari, 106mm (Februari) dan 82.5mm (Mac).

Bagi rekod penggunaan air harian pada Januari adalah 875 juta liter sehari (JLH) dan 944 JLH pada Februari.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!