'Bayar awal, jangan tunggu saat akhir'
LZS seru umat Islam tidak bertangguh tunai zakat
SHAH ALAM - Umat Islam di negeri ini dinasihatkan tidak menunggu saat akhir untuk membayar semua jenis zakat wajib ditunaikan termasuk zakat fitrah bagi mengelak kesesakan di tempat pembayaran.
Ketua Divisyen Kutipan Lembaga Zakat Selangor (LZS), Muhd Fikri Naim Harun berkata, Selangor menetapkan tiga kadar fitrah tahun ini iaitu RM7, RM14, RM22 yang dilaksanakan LZS sejak 2018.
Menurutnya, penetapan kadar zakat itu adalah berdasarkan kepada harga beras mengikut gred dan jenis dimakan pada kadar timbangan satu gantang baghdad bersamaan 2.6 kilogram beras.
Namun katanya, bayaran zakat fitrah melebihi kadar minimum adalah digalakkan secara sukarela dan tanpa paksaan bagi membantu lebih ramai asnaf yang memerlukan bantuan kewangan.
“Jumlah pengagihan bantuan persiapan awal Ramadan dan Syawal sebanyak RM30 juta diperuntukkan pada tahun ini, namun dalam masa sama golongan asnaf terus meningkat.
“Jika kita kekal (jumlah bantuan) pada jumlah tersebut maka semakin kuranglah jumlah bantuan yang akan diperoleh asnaf,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Bangunan Zakat Selangor di sini.
Beliau menambah, kategori golongan B40, M40 dan T20 di negeri ini agak ketara dan kutipan dijangka dapat ditingkatkan sekiranya pembayaran dibuat mengikut kategori ditetapkan.
Katanya, jika mengikut potensi bayaran iaitu B40 membayar RM7, LZS dapat mengutip RM11.97 juta, manakala jika M40 membayar RM14 jumlah terkumpul adalah sebanyak RM23.94 juta.
Sementara bagi T20 yang membayar RM21, maka sebanyak RM17.85 juta dapat dikutip.
“Jika ini dapat dilaksanakan dengan jayanya, LZS boleh mengutip sebanyak RM53.76 juta. Itu potensi zakat fitrah sebenar jika mengikut perkadaran. Ketika ini LZS baru dapat sebanyak RM33 juta.
“Jika kita dapat lebih daripada RM53 juta, asnaf akan menerima lebih banyak bantuan Ramadan dan Aidilfitri atau lebih ramai asnaf akan menerima bantuan tersebut,” katanya.
Sementara itu, Muhd Fikri berkata, seramai 2,642 Penolong Amil Fitrah ditempatkan di masjid dan surau, 17 di institut pengajian tinggi, 92 di maahad tahfiz serta sekolah agama swasta dan 154 di kaunter majikan terpilih untuk pembayaran zakat fitrah dan harta.
“Saya menggalakkan pembayaran melalui dalam talian kerana ia lebih mudah, cepat, tidak perlu beratur atau mencari parkir untuk menunaikan zakat di kaunter.
“Kaedah transaksi secara online juga sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat dan harus di sisi syarak (bersalam atau akad bukan wajib),” katanya.
Bagaimanapun, beliau menasihati orang ramai agar membuat pembayaran lebih awal bagi mengelak kesesakan dalam talian seperti tahun lepas berikutan pengumuman ‘raya mengejut’.
Pusat pungutan:
- 18 cawangan beroperasi di seluruh Selangor.
- Tujuh hari seminggu termasuk cuti umum sepanjang Ramadan.
Waktu berurusan:
- Isnin-Jumaat (8.30 pagi - 4.30 petang).
- Sabtu, Ahad & cuti umum (9 pagi -3 petang).
Cara pembayaran:
- Kaunter (mengikut masa ditetapkan).
- Dalam talian (EzakatPay, Perbankan internet, Portal MYEG, Pos Online, Aplikasi e-dompet GoPayz dan Boost).
- Zakat On Wheels (di masjid, bazar Ramadan, pasar tani, pasar raya).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!