Pusat Media PRK Sandakan dibuka mulai hari ini
SANDAKAN - Pusat Media PRK Parlimen Sandakan kendalian Jabatan Penerangan Sabah dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dibuka mulai hari ini bagi kemudahan pengamal media yang membuat liputan sepanjang PRK itu.
Pengarah Penerangan Sabah, Norzawiyah Bulka berkata, pusat media itu terletak di Dewan Serbaguna Kolej Komuniti Sandakan, Bandar Labuk Jaya di sini dan berfungsi sebagai pusat sehenti kepada pengamal media dengan ruang bekerja serta kemudahan lain seperti talian internet.
“Pusat media ini menyediakan pelbagai maklumat berkaitan PRK seperti profil kawasan.
"Esok, setelah kita mendapat senarai calon bertanding, kita akan menyediakan biodata calon dan semua pemberita akan mendapat maklumat itu di sini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pusat media itu hari ini.
Norzawiyah berkata pusat media itu beroperasi dengan kekuatan 12 petugas dan dibuka dari pukul 9 pagi hingga 9 malam sehingga 11 Mei depan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!