Gema alunan Surah Al-Insan di Pantai Timur
KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) di sini bergema dengan alunan bacaan Surah Al-Insan sempena Program World #QuranHour 2023 yang diadakan serentak di seluruh negara pada Khamis.
Seramai 300 peserta hadir pada majlis itu dengan bacaan surah dimulakan pada jam 11 pagi oleh qari jemputan, Mohamad Syakir Asyraf Shahaimi dan Muhammad Syafiq Mohd Sakri sebagai pentadabbur.
Pengerusi PPAT, Ridzuan Hashim berkata, Program World #QuranHour merupakan acara tahunan yang dilaksanakan perpustakaan negeri sejak beberapa tahun lalu dan pihaknya komited untuk meneruskan program itu untuk membudayakan Al-Quran dalam kehidupan masyarakat.
Menurutnya, selain PPAT, Program World #QuranHour 2023 turut diadakan serentak di lapan perpustakaan daerah dan perpustakaan desa yang terdapat di seluruh Terengganu dengan penyertaan lebih 800 orang.
"World #QuranHour merupakan satu kempen memfokuskan peningkatan interaksi individu dengan al-Quran melalui konsep baca, faham dan amal.
"Ia adalah usaha menjadikan nilai-nilai mulia dari al-Quran membentuk jiwa berbudi dan penyayang sehingga menjadi cara hidup seharian setiap insan.
"Tema memanusiakan ummah daripada Surah Al-Insan adalah usaha membentuk komitmen untuk melakukan transformasi diri ke arah lebih baik, penghayatan surah ini juga diharap dapat memberi persediaan fizikal, emosi, spiritual kepada masyarakat dalam menangani dunia," katanya pada Program World #QuranHour 2023 di PPAT, di sini pada Khamis.
Hadir sama Pengarah PPAT, Norliza Ismail.
Program World #QuranHour 2023 berlangsung di beberapa tempat di seluruh negara bermula 12 hingga 1 tengah Khamis dan pada tahun ini, Surah Al-Insan dipilih bertujuan untuk memanusiakan ummah dengan 11 karakter insan Al-Abrar (berkebajikan).
Mengulas lanjut, Ridzuan yang juga Timbalan Exco Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri berharap setiap lapisan masyarakat dapat mengambil bahagian menjayakan Program World #QuranHour pada tahun akan datang.
Jelas beliau, kerajaan menyokong pelaksanaan kempen itu supaya semua dapat merasai kebersamaan dan kepentingan kehidupan berasaskan al-Quran.
"Selepas dianjurkan beberapa kali, program berskala besar ini memberi impak besar. Semoga segala usaha disumbangkan untuk memartabatkan al-Quran bagi melahirkan generasi mencintai al-Quran diberkati ALLAH SWT," katanya.
Sementara itu di KUANTAN, seramai 200 warga Universiti Malaysia Pahang (UMP) dalam kalangan staf dan penuntut menyertai Majlis Khatam al-Quran dan World #QuranHour dalam program yang berlangsung di Masjid UMP di Gambang pada Khamis.
Program yang bermula jam 8.30 pagi itu didahului dengan Majlis Khatam Al-Quran yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Islam UMP, Md Abdu Sahak yang juga Pengerusi Sekretariat Rumah Ngaji Pahang dan diteruskan dengan taddabbur Surah Al Insan yang disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Islam Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Mohd Faizan Tajuid.
Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik (ITKAS) UMP, Prof Madya Dr Hasan Ahmad berkata, warga UMP diminta memperhebatkan amal ibadah pada 10 malam terakhir yang berbaki beberapa hari sahaja lagi.
"Kita telah memasuki fasa terakhir Ramadan, justeru ambil peluang dengan bersungguh-sungguh mengejar ganjaran hebat yang dikurniakan oleh ALLAH SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW.
“Keajaiban bulan Ramadan yang tiada pada bulan-bulan yang lain. Bulan yang barakah ini bulan menahan diri daripada lapar, menjaga pandangan, telinga dan panca indera yang lain malah mendidik jiwa supaya bertaqwa kepada ALLAH SWT,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Hadir sama Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan, Prof Madya Dr Rashidi Abbas; Dekan Pusat Sains Kemanusiaan, Dr Mohamad Hilmi Mat Said dan Dekan Pusat Sains Matematik, Prof Dr Mohd Zuki Salleh.
Beliau menjelaskan, World #QuranHour 1444H berinteraksi dengan Surah Al-Insan yang menyasarkan misi masuk syurga sekeluarga dan melahirkan insan al-abrar.
"Program World #QuranHour 2023 yang disambut saban tahun ini merupakan usaha dalam menggalakkan masyarakat berinteraksi dengan al-Quran agar sentiasa membaca, memahami dan mengamalkannya," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!