Iftar Perdana ala Madinah LHDN Petaling Jaya meriah
PETALING JAYA - Warga Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Petaling Jaya mengadakan Program Iftar Perdana bersama Anak-Anak Yatim di Menara Hasil, PJ Trade Centre pada Jumaat lepas.
Seramai 253 pegawai serta ahli keluarga memeriahkan majlis berbuka puasa dengan konsep iftar ala Madinah anjuran Persatuan Kebajikan Islam LHDN Petaling Jaya (PERKiS-PJ) yang turut dihadiri oleh Pengarah LHDN Selangor, Norisham Long.
Pengerusi PERKiS-PJ, Amir Abdullah Rofiee berkata, program tersebut diadakan setiap tahun namun ditangguh seketika ketika penularan Covid-19.
"Ketika pandemik, hanya edaran pek makanan disediakan. Alhamdulillah kali ini dapat berkumpul semula dan kita bawa sekali ahli keluarga berbuka bersama-sama disusuli solat tarawih berjemaah bagi memgambil keberkatan Ramadan, " katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Katanya, program bertujuan mengeratkan silaturahim dan mendedahkan pegawai LHDN dengan kemahiran kepimpinan dalam pelbagai bidang selain daripada kerja harian mereka.
Ujarnya, sepanjang Ramadan, pelbagai pengisian kerohanian diadakan antaranya ceramah selain tadarus yang diadakan secara berkumpulan pada waktu rehat selama setengah jam setiap hari.
"Harap momentum ibadah Ramadan dapat diteruskan pada bulan-bulan seterusnya dan terus istiqamah dalam membaca al-Quran serta amalan yang dituntut agama," katanya.
Pada program sama, turut diadakan majlis sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebanyak RM4,000 kepada Pusat Jagaan Telaga Kasih Nur Muhammad, Kota Damansara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!