Pemain tak boleh terlalu manja - Chong Wei

 Lee Chong Wei
Lee Chong Wei
A
A
A

Legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei, yang juga calon Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebagai pengurus pasukan badminton ‘Road to Gold’ (RTG) ke Olimpik Paris 2024 sudah pun mempunyai satu tugas mencabar untuk dilaksanakan.

Selain membantu barisan pemain mendapat persiapan dan sokongan terbaik bagi menghadapi temasya berprestij dunia tersebut, pemenang pingat perak Olimpik tiga kali itu turut mahu mengubah minda pemain zaman ini supaya tidak terlalu manja.

Bekas pemain nombor satu dunia berusia 41 tahun itu berkata, keadaan dan mentaliti pemain pada masa kini sangat berbeza berbanding ketika beliau bergelar pemain, yang membantunya menjadi antara pemain berkelas dunia.

"Sekarang apa paling susah adalah jurulatih, kerana apa-apa kena bincang dengan pemain dahulu. Dulu jurulatih tak pernah bincang dengan saya, kalau awak mahu berlatih awak berlatih, kalau tak mahu, awak balik. Tetapi kini sangat berbeza.

"Saya mahu mula tukar pemikiran pemain sekarang, kita tak boleh manja sangat, kena keras sikit. Kalau manja sangat, dia rasa BAM (Persatuan Badminton Malaysia) yang perlukan dia, bukannya dia perlukan BAM. Ini sesuatu yang perlu ada keseimbangan,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia di sini.

Beliau yang pernah meraih pingat perak kejohanan dunia sebanyak tiga kali, turut menekankan bahawa disiplin menjadi kunci utama untuk bergelar atlet berkelas dunia.

"Satu dunia tahu pertama perlu disiplin, kalau tak ada disiplin, tak boleh jadi pemain terbaik. Bagaimana untuk jadi berdisiplin, banyak cara, seperti bangun awal pagi (untuk latihan).

"Secara keseluruhannya, masa sebagai seorang atlet sangat singkat, bagaimana anda hendak kekalkan (prestasi) dalam beberapa tahun ini sangat penting,” katanya.

Sementara itu, Chong Wei turut mengingatkan semua atlet yang disenaraikan dalam Program RTG dan menjadi prospek untuk layak ke Olimpik, supaya lebih berhati-hati, mendapatkan rehat secukupnya dan fokus dalam latihan untuk mengelak kecederaan.

Beliau berkata dengan tempoh kelayakan bagi badminton agak mencabar memandangkan ia berlangsung untuk tempoh setahun bermula 1 Mei ini adalah penting untuk pemain bebas kecederaan dan mempamerkan prestasi konsisten dalam semua kejohanan disertai.

"Setiap kejohanan mencabar kerana setiap negara mahu layak ke Olimpik dan juga berebut kedudukan ‘seeding’. Sangat penting untuk elak pemain-pemain tertentu. Saya boleh kata Olimpik ialah impian semua, hanya empat tahun sekali, ia adalah pertandingan besar, jadi perlu mula fokus,” katanya.

Pada masa sama, beliau juga sedang merangka strategi untuk membantu Malaysia mempunyai dua wakil dalam acara perseorangan lelaki, dengan pemain profesional Lee Zii Jia menjadi tonggak utama, manakala Ng Tze Yong turut diharapkan untuk melayakkan diri.

Chong Wei juga berjanji untuk berusaha keras membantu skuad negara membawa pulang emas pertama negara pada temasya Paris 2024, yang bakal berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos tahun depan.

Semalam, BAM mencadangkan kepada Jawatankuasa RTG untuk melantik Chong Wei sebagai pengurus pasukan badmitnon RTG ke Paris 2024.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!