Seleweng dana syarikat pusat urut RM9 juta, 3 wanita direman

Tiga wanita direman di Mahkamah Majistret Putrajaya bagi membantu siasatan.
Tiga wanita direman di Mahkamah Majistret Putrajaya bagi membantu siasatan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga wanita kerana disyaki menyeleweng wang RM9 juta milik sebuah syarikat pusat urut terkemuka.

Semua suspek berusia lingkungan 50-an terdiri daripada dua pengarah sebuah syarikat pembekal minyak urut, manakala seorang lagi ialah isteri bekas pengarah urusan syarikat pusat urut terbabit.

Menurut sumber, ketiga-ketiga suspek ditahan petang Rabu di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya ketika hadir memberi keterangan.

"Mereka disyaki telah mengemukakan dokumen yang mempunyai butiran palsu untuk memanipulasikan syarikat antara tempoh 2017 hingga 2019," katanya.

Menurutnya, suspek dikatakan menyeleweng wang tersebut menerusi pembelian minyak urut dengan harga yang tinggi berbanding harga pasaran menerusi syarikat pembekal yang merupakan proksi mereka.

"Pembelian tersebut melibatkan jumlah bernilai RM9 juta, akibat pembelian tersebut syarikat dikatakan mengalami kerugian anggaran RM1.8 juta," katanya.

Perintah reman selama lima hari bermula hari ini hingga Isnin dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas SPRM membuat permohonan tersebut pada Khamis.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

"SPRM kini sedang mengesan dua suspek utama kes berkenaan iaitu bekas Pengarah Urusan dan bekas Pegawai Kewangan syarikat pusat urut tersebut," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!