Lelaki ditemui lemas di Sungai Semantan
KUANTAN - Seorang lelaki yang disyaki terlibat dengan kes curi ditemui lemas di Sungai Semantan, Kampung Kerayong, Mentakab, Temerloh pada Khamis.
Kehilangan mangsa dilaporkan jam 5.56 pagi dan mayatnya berjaya ditemui jam 12.22 tengah hari oleh Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) yang turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mayat mangsa ditemui di dasar sungai berkedalaman 4.3 meter kira-kira lima meter dari tempat dia terjatuh.
"Operasi SAR melibatkan 15 anggota bomba dan tiga anggota polis ditamatkan selepas mayat mangsa ditemui," katanya.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat, mangsa terjatuh ke sungai itu ketika melarikan diri akibat dikejar kerana disyaki mencuri sebelum kejadian.
"Susulan maklumat diterima, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mentakab dibantu pasukan PPDA BBP Bukit Angin,Temerloh dikerah ke lokasi untuk SAR mangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!